KANGAR – Cubaan dua lelaki disyaki penagih dadah melarikan diri daripada polis dengan keluar dari tingkap bilik di tingkat tiga bangunan hotel di sini awal pagi tadi gagal apabila mereka berjaya ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri selepas sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menyerbu bilik hotel tesebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, anggotanya terpaksa memecahkan pintu selepas penghuni bilik hotel itu tidak membuka pintu setelah diketuk beberapa kali.
“Kita mendapati terdapat seorang lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap bilik manakala seorang lagi suspek telah berada di luar sisi tingkap dengan kecederaan luka pada kaki kanan akibat terkena serpihan cermin tingkap pecah.
“Kedua-dua suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemui dua peket plastik lutsinar dan dua keratan straw berwarna merah jambu yang setiap satunya berisi ketulan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat kira-kira 4.65 gram di atas meja bilik hotel berkenaan.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek berusia 30 dan 34 tahun yang masing-masing bekerja sebagai petani dan buruh itu didapati positif dadah jenis morfin,” ujarnya.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 34 tahun mengaku dadah dijumpai adalah miliknya dan memberitahu mula terlibat dalam kegiatan penagihan dadah sejak tujuh tahun lalu dengan memperoleh bekalan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Mat Gie dari Pida, Kedah pada harga RM480 bagi setiap enam gram. – K! ONLINE











