KUALA LUMPUR 9 Mei – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang baru sahaja menerima kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), semalam disifatkan sebagai sebuah parti ‘air sejuk’ disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi.
Walau bagaimanapun, Presiden Penaja Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali menjelaskan kekangan itu tidak akan sekali-kali melunturkan semangat kepemimpinan tertinggi parti berkenaan untuk memberi lebih pilihan dan membela hak rakyat.
Sebagai sebuah parti yang memegang prinsip mendaulatkan agama Islam dan golongan bumiputera berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan, Ibrahim menegaskan Putra juga tidak akan bersikap apologetik kepada mana-mana pihak hanya kerana mahu memenangi pilihan raya.
““Selepas 10 tahun menimba ilmu bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sudah tiba masanya saya buktikan sesuatu. Namun begitu, saya akui satu-satunya masalah Putra ini ialah kekangan kewangan.
“Kita mungkin perlu mencari derma. Kalau ada pihak nak membantu sangat bagus tapi jika tidak ada kita kena merangkak sebab kita parti ‘air sejuk’ bukannya chicken chop atau pasta. Kita sebuah parti marhain.
“Apa yang penting komitmen dan semangat yang dimiliki tidak akan luntur kerana prinsip kami sangat jelas iaitu tegas dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan berteraskan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan kelulusan Putra di sini hari ini.
Ibrahim membuat keputusan menubuhkan Putra pada 17 Ogos tahun lalu sebagai alternatif kepada rakyat terutama orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memperjuangkan kepentingan kaum tersebut dan agama Islam. – UTUSAN ONLINE











