KLANG 9 Mei – Gangguan bekalan air di Selangor tiada berkesudahan apabila rakyat di negeri ini masih lagi berhadapan dengan masalah tersebut saban waktu dan lebih mengecewakan ia berlaku di bulan Ramadan.
Seorang penduduk, Ida Shafira Zamani, 32, dari Taman Perepat Indah, Kapar, berkata, gangguan air di perumahannya berlaku sejak Ahad, namun bantuan lori tangki air hanya tiba semalam itu pun kira-kira pukul 4 petang.
Paling mengecewakan jelasnya, tiada mana-mana pihak tampil memberitahu punca gangguan air dan dia sekeluarga menggunakan bekalan tadahan air yang masih disimpan ketika masalah serupa melanda penghujung April lalu.
“Air simpanan hanya bertahan sehingga kelmarin memaksa saya dan suami terpaksa beli air untuk kegunaan harian seperti memasak dan menguruskan anak-anak yang masih kecil. Malah, anak-anak juga tidak bersekolah selama dua hari kerana gangguan bekalan air.
“Saya kesal kerana masalah ini tidak diselesaikan segera dan apa yang mengecewakan pesanan Whatsapp kepada pihak berwajib untuk memaklumkan keperluan lori tangki bantuan tetapi langsung tidak dibalas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











