Lima das tembakan dilepaskan pada MPV bercermin gelap - Utusan Malaysia

Lima das tembakan dilepaskan pada MPV bercermin gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah sebuah kenderaan bercermin gelap yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan pemeriksaan di Jalan Pudu di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visunathan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang sedang melakukan Op Tapis telah terlihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang mencurigakan.

“Toyota Vellfire yang bercermin gelap itu secara tiba-tiba memecut melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota yang menghampiri untuk melakukan pemeriksaan dan hampir melanggar sebuah kereta peronda polis yang berada di situ.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan itu anggota bertugas telah bertindak mengejar MPV berkenaan sebelum ia berlanggar dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera mengakibatkan kereta suspek berhenti berhampiran sebuah bank di Jalan Pudu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fahmi, anggota bertugas kemudiannya telah mengarahkan suspek untuk keluar namun arahan tersebut tidak diendahkan dan kenderaan itu sekali lagi memecut menyebabkan sebanyak lima das tembakan terpaksa dilepaskan.

“MPV berkenaan kemudiannya dilihat menghala ke arah Jalan Loke Yew sebelum menghilangkan diri. Tidak dapat dipastikan jumlah individu yang berada dalam kenderaan itu berikutan cermin kenderaan itu yang gelap.

“Siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini