LANGKAWI 8 Mei – Semua aktiviti pantai di sekitar Pulau Langkawi, di sini diarah dihentikan sementara berkuat kuasa serta merta berikutan keadaan laut bergelora dengan ombak mencecah setinggi tiga meter.
Arahan tersebut dikeluarkan ekoran terdapat pengunjung yang masih berdegil melakukan aktiviti pantai khususnya mandi-manda di laut, biarpun bendera merah sudah dinaikkan.
Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, cuaca tidak menentu termasuk hujan dan ribut melanda beberapa kawasan di pulau itu sejak semalam.
“Kami memberi tumpuan mengawasi keadaan di Pantai Tengah dan Pantai Chenang selain turut memantau situasi di Pulau Payar yang menjadi tumpuan pelancong.
“Inisiatif ini diambil bagi mengelak tragedi buruk menimpa pengunjung yang teruja untuk mandi walaupun keadaan laut merbahaya,” katanya di sini hari ini.
Berikutan itu, Azamhshah memaklumkan, seramai 24 pegawai dan anggota APM daerah itu kini diarahkan bersedia bagi menghadapi sebarang bencana.
Kata beliau lagi, anggota APM juga telah mengambil inisiatif untuk menghampiri dan menasihati pengunjung agar sentiasa berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. – UTUSAN ONLINE











