Dana pemulangan aset untuk bayar hutang 1MDB - Utusan Malaysia

Dana pemulangan aset untuk bayar hutang 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 8 Mei – Dana daripada pemulangan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan digunakan untuk membayar hutang sebanyak RM51 bilion syarikat berkenaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu termasuk faedah yang perlu ditanggung sebanyak RM10.8 bilion dan pinjaman kementerian yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB setakat ini iaitu sebanyak RM8.6 bilion.

Menurut beliau, dana tersebut juga akan digunakan untuk membayar kos guaman dan perbicaraan yang terbit daripada usaha memulang serta melupuskan aset-aset 1MDB di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemulangan aset-aset ini merupakan langkah awal ke arah penyelesaian isu 1MDB dan pemulihan reputasi Malaysia supaya tidak lagi dikenali sebagai negara kleptokrasi.

“Pemulangan aset-aset ini menerusi proses undang-undang juga membuktikan salah laku yang telah berlaku berkaitan dengan 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menambah, kementerian turut menyambut baik pengumuman Jabatan Peguam Negara bahawa sejumlah AS$322 juta (RM1.3 bilion) daripada aset-aset 1MDB dapat dikembalikan ke Malaysia berikutan Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Jumlah tersebut jelas beliau, merupakan sebahagian daripada AS$4.5 bilion yang DoJ dapati diseleweng daripada 1MDB.

Keputusan DoJ itu katanya, merupakan kedudukan terkini setelah mahkamah Singapura mengarahkan dana berkaitan 1MDB sebanyak SGD50 juta (RM152 juta) dipulangkan ke Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB yang lain dan pada masa yang sama akan memperkukuhkan kawalan dalaman serta inisiatif antirasuah supaya perkara seumpama itu tidak dapat berlaku lagi di masa hadapan.

“Kementerian juga ingin menyatakan penghargaan di atas usaha dan kerjasama pihak berkuasa luar negara yang terbabit dalam penyiasatan, pembicaraan dan penyelesaian kes ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini