KOTA BHARU 8 Mei – Peniaga makanan tradisi, ‘colek’ diminta agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan kadar harga sesuka hati secara melampau sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPNDKK) negeri, Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan ke atas semua premis jualan colek di seluruh negeri ini sepanjang musim bulan ini.
Menurutnya, pemantauan itu bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan melampau dengan penjualan colek yang tentunya menjadi tarikan dan terkenal di musim ini.
“Peniaga perlu meletakkan tanda harga bagi setiap juadah serta perlu menggunakan timbang sukat yang disahkan oleh pihak kami. Kita minta agar peniaga memberi kerjasama supaya orang ramai dapat menikmati juadah itu sepanjang bulan ini.

“Kita juga mengalu-alukan orang ramai yang ingin membuat aduan seandainya ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan harga yang melampau dan pencatutan kepada pihak kami dan tindakan lanjut akan diambil,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemeriksaan PKPDNHEP di Bazar Ramadan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini hari ini.
Colek ialah makanan ringan popular di Kelantan terdiri daripada campuran ayam, perut lembu, peparu, keropok dan sosej yang digoreng yang dimakan bersama kuah pencicah.
Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya telah menjalankan pemantauan di 487 lokasi penjualan di seluruh negeri ini bagi menangani isu harga barang sempena Ramadan.
“Setakat hari ini, belum ada sebarang aduan mengenai harga barang yang diterima. Kita hanya mengeluarkan amaran ke atas 15 kes di Kota Bharu manakala 16 di Tanah Merah melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga.
“Pemantauan telah membabitkan seramai 125 pegawai penguatkuasa dan 94 pegawai pemantauan harga. Kerjasama daripada peniaga dan orang awam amat diperlukan agar isu harga barang dapat ditangani,” – UTUSAN ONLINE











