Gelaran ‘anak syurga’ bukan jaminan syurga - Utusan Malaysia

Gelaran ‘anak syurga’ bukan jaminan syurga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELARAN ‘anak syurga’ yang lazimnya dirujuk kepada golongan kurang upaya (OKU) bukan bermakna mereka dijamin syurga atau dikecualikan untuk belajar mengenali dan taat kepada Allah.

Sebaliknya, selagi akal waras dan sihat tubuh badan, maka menjadi kewajiban untuk mereka belajar serta mengamalkan ilmu agama.

Tindakan mengecualikan mereka hanya akan memberi natijah buruk tidak hanya kepada mereka, bahkan imej Islam itu sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini selari dengan apa yang ditegaskan oleh dua panel pemikir ketika membentangkan kertas kerja masing-masing dalam Seminar Kesedaran Pendidikan Kafa Untuk OKU di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Dua panel itu adalah Ketua Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Norakyairee Mohd. Raus dan Penolong Ketua Jabatan Penyelidikan Inovasi dan Profesionalisme Keguruan Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam Bangi, Dr. Mohd Huzairi Awang @ Husain.

Kedua-duanya menyifatkan sikap ibu bapa yang memandang sambil lewa kewajiban tersebut berisiko menyebabkan anak-anak OKU mereka bergelut untuk menunaikan perintah Allah walaupun setelah mencapai umur baligh.

Kedua-dua panel turut senada menyatakan, takdir Allah tersebut bukan bermakna ibu bapa perlu hanya reda tetapi seharusnya ada sikap untuk memastikan mereka menjadi hamba-Nya yang taat bila dewasa kelak.

“Persepsi masyarakat umum yang menganggap mereka itu ‘anak syurga’, justeru tidak perlu utamakan daripada segi pembelajaran termasuk berkaitan dengan agama,” kata Norakyairee ketika membentang kertas kerjanya bertajuk Pendidikan Agama Dalam Kalangan OKU : Isu dan Cabaran Semasa.

Seminar yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya itu disertai lebih 200 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) seluruh negara.

Pada seminar itu, forum bertajuk Hala Tuju Pendidikan Kafa Kepada OKU turut diadakan dalam sesi kedua.

BERI KEPERCAYAAN

Tambah Norakyairee, ibu bapa tidak seharusnya mudah ‘dikalahkan’ dengan perasaan ragu-ragu terhadap kemampuan anak-anak OKU dalam menerima didikan ilmu agama.

Beliau berkata, didikan awal amat penting dalam membina dan memperkukuhkan asas keimanan dalam jiwa anak-anak OKU supaya apabila dewasa kelak, mereka tidak bermasalah untuk terus menambah baik ilmu agama.

“Sepatutnya kita ajar mereka. Sama ada mereka terima atau tidak, itu bukan urusan kita. Tetapi kaedah penyampaian mestilah berkualiti dari segi teknik didikan, bahan pembelajaran dan pengajaran, sikap istiqamah dan berdoa selalu,” katanya.

Samalah dengan Dr. Mohd. Huzairi yang melihat bahawa ilmu agama Islam tidak inklusif untuk kalangan mereka yang normal sahaja, tetapi juga golongan OKU.

“Setiap umat Islam tanpa mengira jantina dan umur perlu belajar ilmu agama termasuk OKU, kecuali mereka yang ada masalah atau isu mental.

“Mereka ini (OKU) ada akal yang sempurna tetapi hanya memiliki kecacatan tertentu yang menyukarkan mereka menjalani kehidupan seperti insan normal,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua panel tidak menolak beberapa kekangan lain yang turut dilihat berpotensi menjadi penghalang terhadap usaha memantapkan akidah golongan Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Antaranya, tiada kemahiran menggunakan al-Quran Braille, masa pengajaran terhad, kekurangan bahan bantu mengajar, tiada kelas KAFA untuk MBK dan kekurangan minat dalam kalangan agamawan untuk berkecimpung dalam pembangunan kerohanian MBK.

“Tiada kemahiran menggunakan al-Quran Braille selalunya menjadi isu dan cabaran kepada guru yang baru mula mengajar kerana tidak pernah mendapat pendedahan semasa mengikuti latihan perguruan.

“Masa pengajaran terhad itu menyebabkan guru berkenaan tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengajar al-Quran Braille secara khusus dan ada yang hanya menumpukan usaha untuk menghabiskan sukatan pelajaran bagi menghadapi peperiksaan,” katanya.

Bagi Dr. Mohd. Huzairi, ketiadaan kelas KAFA untuk MBK akan menyebabkan sukar untuk menyusun perancangan pembelajaran yang berkesan bagi memastikan mereka tidak terus tercicir.

“Ia lebih penting berbanding isu berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender, hak asasi manusia atau komuniti Orang Asli kerana mereka memiliki kekurangan yang perlu dibantu oleh golongan normal seperti kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini