KUALA LUMPUR 8 Mei – Maybank mengumumkan penurunan Kadar Asas (BR) sebanyak 20 mata asas daripada 3.25 peratus setahun kepada 3.05 peratus setahun manakala Kadar Pinjaman Asas (BLR) akan diturunkan daripada 6.90 peratus setahun kepada 6.70 peratus setahun bermula esok sejajar dengan penurunan kadar dasar semalaman (OPR).
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, BR dan BLR Perbankan Islam masing-masing akan diturunkan sebanyak 20 mata asas daripada 3.25 peratus setahun kepada 3.05 peratus setahun bagi kedua-duanya.
Beliau berkata, selaras dengan penyemakan semula ini, kadar deposit tetap Maybank juga akan diturunkan sebanyak 20 mata asas bermula pada tarikh yang sama.
“Maybank telah menawarkan BR & BLR paling rendah dalam kalangan bank-bank komersial di negara ini untuk tempoh yang lama, masing-masing pada kadar 3.25 peratus dan 6.90 peratus.
“Kadar semakan kami akan terus memberi faedah kepada peminjam kami yang mempunyai pegangan pinjaman kepada BR / BLR memandangkan kadar faedah yang dikenakan akan diturunkan sewajarnya berkuatkuasa 9 Mei 2019.
“Pada masa sama, kami akan terus berusaha untuk memastikan bahawa pendeposit terus menerima pulangan sesuai untuk simpanan mereka kerana kadar deposit tetap telah diselaraskan kurang dari 25 mata asas dalam penurunan OPR, “ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Farid, Maybank akan terus mengurus aset dan liabilitinya dengan berkesan untuk memastikan kadar faedah dinilai secara bertanggungjawab pada setiap masa untuk kepentingan pelanggannya.
Semakan terakhir Kadar Asas Maybank adalah pada 29 Januari 2018 apabila ia disemak naik kepada 3.25 peratus dari 3.00 peratus. -UTUSAN ONLINE











