Peraturan baharu cermin gelap abai faktor keselamatan pemandu - Utusan Malaysia

Peraturan baharu cermin gelap abai faktor keselamatan pemandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 8 Mei – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa bingung dan hairan dengan pengumuman peraturan baharu oleh Kementerian Pengangkutan berhubung penggunaan cermin gelap bagi kereta persendirian.

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, pengumuman itu bukan sahaja dibuat secara tiba-tiba tetapi seolah-olah tiada rundingan dijalankan dengan pihak berkuasa pengangkutan jalan lain.

Menurutnya, keputusan itu juga menunjukkan Kementerian Pengangkutan tunduk kepada kehendak pihak yang mahu cermin tingkap kenderaan lebih gelap untuk menapis keluar haba berbanding memberi perhatian kepada isu sebenar iaitu faktor keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak diragui, jelas beliau, cermin gelap menyediakan sedikit keselesaan dengan menapis cahaya matahari yang terang dan sinaran cahaya lampau ungu yang berbahaya.

Bagaimanapun, ujarnya, kenderaan bercermin gelap lebih cenderung mengalami perlanggaran dari belakang memandangkan cermin gelap menghalang pandangan pemandu terhadap kenderaan belakang.

Jelasnya, kenderaan yang mengekori tidak mampu untuk melihat halangan di jalan dan dengan itu membawa kepada tindak balas perlahan yang akhirnya menyebabkan perlanggaran.

“Pengalaman pemandu kenderaan yang menyesal kerana bertukar kepada cermin gelap sepatutnya boleh menjadi pengajaran.

“Mereka yang berbuat demikian mendapati lebih sukar untuk melihat melalui cermin pandang belakang dan ini mungkin menjadi lebih buruk pada waktu malam atau ketika hujan lebat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, S. M. Mohamed berkata, CAP turut melihat dakwaan kononnya peraturan baharu tersebut dapat menyelesaikan masalah import kereta dari Jepun dengan paras gelap yang berbeza sebagai tidak masuk akal.

Kata beliau, pihak pengeluar dan pengimport kereta sepatutnya perlu memastikan kenderaan mereka mematuhi piawaian keselamatan dan undang-undang negara sebelum mengimport kereta mereka.

“Bolehkah kita mengeksport kereta pemanduan kanan Malaysia ke Amerika Syarikat (AS)? Jadi kenapa kita menukar peraturannya dan untuk keuntungan siapa?” katanya.

Tambah S. M. Mohamed, dengan peraturan baharu cermin gelap itu juga, boleh dijangkakan kes-kes seperti culik, rogol dan kecurian akan meningkat memandangkan kegelapan adalah kelebihan bagi penjenayah.

“Bagi mereka yang cuba bersembunyi daripada undang-undang dan daripada perhatian pandangan awam akan berasa gembira dengan peraturan baharu ini.

“Disebabkan itu, CAP menggesa Kementerian Pengangkutan memansuhkan undang-undang baharu berhubung cermin gelap ini dengan segera tanpa cuba menggembirakan pihak lain demi keselamatan orang ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini