MUAR 8 Mei – Seorang lelaki maut selepas lori 18 tan yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebuah balai raya berhampiran dalam satu kejadian di Lenga Batu 23, Jalan Ahmad, Kampung Baru, Pagoh di sini pukul 10.40 pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa, Zairudin Ibrahim, 42, maut ditempat kejadian.
“Lori 18 tan yang membawa muatan pasir itu dalam perjalanan dari Lenga menghala ke Pagoh sebelum terbabas dan merempuh sebuah balairaya.
“Akibat kejadian itu, pemandunya tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.49 pagi dan mengambil masa 7 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











