KUALA SELANGOR – Seorang pembantu perubatan awam sebuah hospital maut digilis lori di Kilometer 34 Jalan Kuala Selangor – Meru, dekat Puncak Alam, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, Abdul Rasid Abdul Jalil, 46, yang menunggang motosikal jenis SYM VF3i meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Puncak Alam dari Selayang.
Katanya, setiba di lokasi kejadian dipercayai mangsa telah melanggar belakang sebelah kanan kereta jenis Honda City dipandu wanita berusia 38 tahun.
“Akibat pelanggaran itu mangsa telah terjatuh ke laluan bertentangan sebelum digilis lori dipandu lelaki berusia 40 tahun.
“Mangsa yang maut dilokasi kejadian kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











