Pengusaha madu terjejas, syarikat kurier tidak terima bungkusan - Utusan Malaysia

Pengusaha madu terjejas, syarikat kurier tidak terima bungkusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG 8 Mei – Beberapa pengusaha madu di negeri ini berdepan kemungkinan ‘gulung tikar’ apabila syarikat kurier di negeri ini dikatakan enggan lagi menghantar produk mereka kepada pelanggan di seluruh negara mulai awal tahun ini.

Rata-rata mereka kini runsing apabila terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila perkhidmatan pengeposan barangan yang dikategorikan sebagai cecair itu dimansuhkan.

Menurut pemilik JKM Trigona Agro Farm, Mohd. Riban Zainon, 45, dia kini hanya bergantung kepada pelanggan yang datang membeli sendiri madu kelulut di pusat ternakannya berbanding mengepos kira-kira 800 botol madu dalam sebulan sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Produk kami dihantar kepada pelanggan sehingga ke Sabah dan Sarawak, tetapi sejak peraturan ini dikuatkuasakan oleh syarikat-syarikat kurier, kami tiada pilihan untuk menjual madu tersebut seperti biasa.

“Sekarang ini, saya hanya mampu menjual kira-kira 200 botol madu kelulut dalam sebulan sejak Januari lalu, apabila keadaan ini berlaku maka pasaran kami semakin mengecil dan turut menjejaskan pendapatan para ejen dan stokis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, ejen jualan, Tahirah Mat Hussain, 26, mengakui pendapatannya semakin terjejas sejak tidak boleh menggunakan khidmat kurier tersebut.

“Saya banyak bergantung pendapatan kepada hasil jualan madu kelulut ini. Apabila pasaran menjadi semakin terhad, maka kami perlu menyusun semula kewangan keluarga kerana perniagaan ini antara yang menampung perbelanjaan kami,” ujarnya.

Tambah Tahirah, syarikat kurier sepatutnya menerangkan cara-cara pembungkusan yang betul bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sekiranya produk tersebut dikhuatiri mudah meletup seperti yang diperkatakan.

“Selama ini, memang kami menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar produk kepada para pelanggan, jadi kami memohon pihak terlibat untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan industri ini terus berkembang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha madu kelulut di Tunjang, Jitra, Mayzul Md. Zain, 52, berkata, buat masa ini, mereka terpaksa menggunakan khidmat bas ekspres untuk menghantar produk tersebut.

“Tetapi, pelanggan pula akan mengadu mereka terpaksa pergi ke stesen bas pada pukul 3 atau 4 pagi semata-mata untuk mengambil madu kelulut itu. Perkara itu menyusahkan mereka kerana pelanggan kami terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini