KOTA BHARU 8 Mei – Peniaga premis makanan di negeri ini masih boleh meneruskan operasi antara pukul 8.30 malam hingga pukul 10 malam di bulan Ramadan seperti biasa.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, arahan menutup premis pada waktu tersebut masih lagi di peringkat pentabiran iaitu dari Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi polemik kerana masih di peringkat awal dan belum ada sebarang notis lagi dikeluarkan kepada peniaga.
“Kita ada dengar pandangan macam-macam, kita kerajaan negeri menghormati semua teguran dan komen cuma kita harap semua pihak melihat perkara ini dari sudut yang positif dan tidak perlu jadi sensasi atau polemik.
“Setakat ini peniaga boleh berniaga seperti biasa kecuali bila ada arahan daripada PBT kepada kedai-kedai, kita kena tengok ‘step’, selepas ini PBT akan tengok apa proses dia, undang-undang semua itu.
“Kita sepatutnya lihat dari sudut positif sebagaimana larangan merokok di kedai makan oleh kerajaan Malaysia, mungkin ada pro dan kontra, itu perkara biasa,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas surat arahan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tular sejak kelmarin supaya premis makanan ditutup sementara dari pukul 8.30 malam hingga pukul 10 malam bagi menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat tarawih.
Sementara itu, ketika ditanya adakah arahan berkenaan adalah keputusan Mesyuarat Exco, Mohd Amar berkata, bukan semua perkara perlu dibincangkan di peringkat itu.
Justeru, katanya, tidak timbul soal menarik balik arahan tersebut kerana yang penting ketika ini adalah kaedah pelaksanaan seterusnya.
“Bukan semua benda perlu dibincangkan dalam mesyuarat Exco, kadang-kadang arahan pentadbiran cukup dari Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri sahaja, Exco bincang perkara dasar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











