KUALA LUMPUR 8 Mei – Beri autonomi kepada mahasiswa dan universiti.

Demikian pandangan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin yang menyeru kerajaan supaya kebebasan kepada mahasiswa dan universiti diberi tanpa ada campur tangan politik.
Beliau berkata, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebelum ini dilihat menyekat kebebasan mahasiswa untuk melontarkan pandangan kritis menyebabkan kredibiliti universiti terhakis.
“Sebelum ini, AUKU menyekat kebebasan mahasiswa untuk mengkritik dan menentukan dasar universiti malah pelantikan Naib Canselor pun ditentukan oleh pemimpin politik.
“Jadi secara tidak langsung kredibiliti institusi pengajian tinggi semakin terhakis dalam pandangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Muhammad Ikhwan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan Akta Pendidikan Tinggi baharu.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, akta baharu itu akan menggabungkan akta-akta berkaitan pendidikan tinggi sedia ada. – UTUSAN ONLINE











