Cikgu Jamaliah ajar hingga faham - Utusan Malaysia

Cikgu Jamaliah ajar hingga faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEMASA saya di tadika, ada seorang cikgu yang saya rasa beliau ajar dari hati ke hati kepada saya,” itulah ungkapan pertama penyanyi terkenal tanah air, Siti Sarah Raisuddin.

KUALA LUMPUR 17 April 2019 – Siti Sarah pada Majlis Pelancaran Salam Today, di Hotel Empire Subang, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON / Pemberita: ANIS NABILA (am Utusan)

Siti Sarah yang kini berusia 38 tahun menyifatkan guru tersebut sebagai seorang guru yang lain daripada lain kerana beliau memberi perhatian sepenuh kepadanya jika lemah dalam pelajaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau akan suruh saya tunggu sebentar di sekolah selepas tamat sesi persekolahan ataupun mengadakan kelas tambahan untuk saya supaya dapat memberikan tunjuk ajar yang sepatutnya.

“Berbeza dengan guru lain kerana guru ini akan menggunakan kudratnya sendiri dengan sedaya yang boleh untuk mengajar saya sehingga faham,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Guru yang dimaksudkan oleh Siti Sarah ialah Cikgu Jamaliah yang pernah mengajarnya ketika bersekolah di sebuah tadika.

Bertuah sungguh Siti Sarah ketika zaman persekolahannya dilengkapi dengan seorang guru yang berhati mulia.

Tidak dapat dinafikan Siti Sarah pernah melalui detik pahit semasa zaman persekolahannya bersama seorang guru.

“Ada juga seorang cikgu yang terlalu garang sehingga membuatkan saya tidak mahu datang ke sekolah apabila mempunyai waktu kelas bersama cikgu yang dimaksudkan itu.

“Saya akan mencari jalan untuk tidak hadir ke sekolah dengan memberi pelbagai alasan yang ‘munasabah’ kepada ibu dan bapa,” katanya ketika mengimbau zaman persekolahannya.

Siti Sarah menyifatkannya seorang pelajar yang tiada masalah dari segi akademik dan sebagainya ketika berada di zaman persekolahan.

Walaupun pendidikannya hanya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Siti Sarah membuktikan dia juga boleh berjaya dengan menggunakan kemahiran yang tersendiri dalam bidang nyanyian.

Sempena Hari Guru pada tahun ini, Siti Sarah turut menjadikan ibunya sebagai seorang ‘guru’ yang amat disegani dan dihormatinya.

Beliau turut menyeru kepada semua ibu bapa agar lebih prihatin tentang pelajaran dan minat anak-anak mereka.

“Kadang-kadang kita lihat seseorang itu biasa-biasa sahaja dalam akademiknya namun tidak mustahil satu hari nanti dia akan menjadi seorang jutawan.

“Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai kemahiran yang berbeza dan memiliki pemikiran yang tersendiri,” jelas isteri kepada pelawak terkenal, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali dengan Shuib Sepahtu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini