KUALA NERUS 7 Mei – Warga Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Aring 5 di Gua Musang, Kelantan dengan mewujudkan sebuah perpustakaan mini di perkampungan itu baru-baru ini.
Pengarah Projek Perpustakaan Mini, Mohd. Sabri Muda berkata, inisiatif itu bertujuan mendedahkan kalangan mereka terutama 100 kanak-kanak di situ dengan pelbagai bahan bacaan sekali gus menerapkan dan menyemai budaya membaca serta suasana cintakan ilmu.
Katanya, perpustakaan mini itu dilengkapi sebanyak 350 bahan bacaan di samping turut menempatkan ruangan pembelajaran.
“Warga Perpustakaan Unisza terpanggil untuk melaksanakan projek bersama dengan masyarakat Orang Asli memandangkan kita sedia maklum golongan ini sukar untuk keluar dari perkampungan mereka kerana penempatan yang jauh dari bandar.
“Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang kepada kita apatah lagi meminggirkan golongan ini daripada arus pendidikan, oleh itu kami mengambil langkah untuk turun ke perkampungan ini bagi memberikan input kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sabri, pelbagai aktiviti menarik disediakan pada hari perasmian itu termasuk sesi motivasi dan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh 60 pelajar Fakulti Perubatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Sayuti Razali.
Sementara itu, Ketua Pustakawan Unisza, Norulhuda Makhtar berkata, selain program itu mereka turut menyertai projek Khaleef Bateq anjuran Persatuan Mahasiswa Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan Unisza dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
Katanya, program yang bermula sejak Februari 2019 itu digerakkan oleh sekumpulan 87 pelajar dan antara pengisian yang dijalankan untuk komuniti Orang Asli di situ adalah kelas fardhu ain dewasa lelaki dan wanita, di samping kelas pendidikan awal kanak-kanak bagi memantapkan penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira).
“Usaha ini memberi peluang kita melaksanakan tanggungjawab kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat selain tanda sokongan kepada program Dekad Membaca.
“InsyaAllah, perpustakaan mini ini akan menjadi platform kepada komuniti Orang Asli di sini menyemai minat membaca dan memperolehi ilmu pengetahuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










