KUALA LUMPUR 7 Mei – Dalam misi mempertahankan lapan pingat emas Sukan SEA dan kembali meraih pingat pada Sukan Asia, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sekali lagi mencadangkan untuk melantik jurulatih dari Amerika Syarikat (AS).
Selepas usaha untuk membawa masuk bekas Olimpian negara itu, David Patrick gagal atas sebab tertentu, KOM kini bercadang melantik Dwayne I. Miller yang pernah membantu LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.
Miller juga pernah meraih anugerah ‘Nike Coach of the Year’ dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008, selain membantu atletnya meraih dua pingat emas pada Sukan Olimpik 2008.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berharap, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dapat mengambil keputusan positif berhubung perkara itu.
Terdahulu, mesyuarat jawatankuasa kerja antara MSN dan KOM yang dijadual pagi ini, dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Kita mahu Datuk Shapawi hadir mesyuarat ini kerana perlu membuat keputusan mengenai nasib jurulatih dan masa depan sukan olahraga negara. Ia sangat penting untuk persediaan Sukan SEA dan pembangunan bakat di negara ini.
“Kalau boleh saya nak pihak Kementerian Belia dan Sukan turut hadir pada mesyuarat itu supaya keputusan boleh diambil dengan segera,” katanya kepada Bernama.
Pada masa ini, beliau berkata, Malaysia memiliki banyak atlet berbakat, terutamanya pelari pecut dari peringkat sekolah sehingga pelapis dan kebangsaan, dan mereka memerlukan seorang jurulatih yang boleh membimbing atlet serta memindahkan kepakaran kepada jurulatih tempatan.
“Untuk itu, kebolehan berbahasa Inggeris sangat penting. Jika mengambil jurulatih dari Rusia (dan negara-negara Blok Timur), mereka menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan atlet dan jurulatih tempatan. Kita juga mahu jurulatih tersebut membuktikan kemampuan mereka sebagai jurulatih,” katanya.
Karim turut menggesa barisan jurulatih tempatan supaya lebih terbuka untuk menerima jurulatih lebih berkebolehan untuk melatih atlet muda negara supaya bakat mereka dapat dicungkil ke tahap lebih tinggi.
Katanya, negara jiran seperti Thailand dan Indonesia juga menggunakan kepakaran asing dalam melatih atlet mereka, dan impaknya dapat dilihat apabila kuartet 4x100m lelaki Thailand meraih emas selepas mencatat rekod kejohanan (38.72s) pada pusingan separuh akhir, manakala Lalu Muhammad Zohri (10.13s) dari Indonesia meraih perak pada Kejohanan Asia, bulan lalu.
“Suatu masa dahulu, Malaysia cemerlang dalam acara pecut di peringkat Asia menerusi atlet seperti Tan Sri Dr M. Jegathesan dan Datuk Rabuan Pit, tetapi sekarang kita jauh ketinggalan.
“Saya tidak mahu membazirkan bakat (yang muncul sekarang),” katanya merujuk kepada atlet pecut remaja negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi; juara Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan; pemegang rekod 200m kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib dan Jonathan Nyepa. – BERNAMA











