ALOR SETAR 7 Mei – Polis menahan dua individu yang dipercayai menjadi penjaga premis menjual tambah nilai judi dalam talian di sebuah rumah kedai di Taman Wira Mergong di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata dalam serbuan pada 11 pagi itu, seorang wanita berusia 21 tahun dan seorang lelaki berusia 24 tahun yang berada di bahagian dalam premis berkenaan ditahan ketika sedang bekerja.
“Wanita yang berasal dari Guar Chempedak itu mendakwa dia baru mula bekerja di premis berkenaan semalam dan tidak mengetahui bahawa premis tersebut menjalankan aktiviti haram kerana ia berselindung di sebalik kedai menjual pakaian terpakai dan tambah nilai telefon bimbit.
“Dia ditawarkan bekerja di situ oleh rakannya dengan gaji harian berjumlah RM70 sehari untuk mencari wang bagi menyambut hari raya. Dia bersama seorang lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan kerana terbabit dengan kegiatan judi dalam talian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Rozi berkata operasi yang tertumpu di empat lokasi iaitu dua di Kota Setar, satu di pekan Langgar dan satu di Kuala Kedah itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan dibantu Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Dalam serbuan berasingan di sebuah kedai menjual burung di Langgar pada 12 tengahari, polis telah menyerbu premis berkenaan yang juga disyaki terbabit menjual tambah nilai judi dalam talian dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu dipercayai mencuri bekalan elektrik dari kawasan berhampiran.
“Bekalan elektrik premis berkenaan telah dipotong tahun lepas kerana menjalankan kegiatan sama dan hari ini pihak TNB telah memotong penyambungan bekalan elektrik berkenaan untuk mengelak dari beroperasi semula,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA











