MELAKA – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire di Jalan Sungai Putat di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.29 petang itu, mangsa, Muhammad Hasani Mohd. Razip, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Bukit Beruang selepas membuat penghantaran makanan di Batu Berendam.
“Setiba di lokasi, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Toyota Vellfire.
“Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV yang merupakan seorang wanita berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











