DIA mengejar kecemerlangan,
Tanpa lupa daratan,
Berperawakan hebat, bersopan.
Setinggi mana kejayaan ditempa,
Balik mencium tangan ibu bapa.
Semakin memuncak cita,
Semakin tunduk pada Yang Esa.
Di barisan hadapan sebagai pembela,
Kalimah Allah sentiasa di dada.
Bait-bait di atas cukup sinonim dengan penulis ketika menuntut di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, 28 tahun lalu. Hal ini kerana kami dituntut menjadi pelajar yang berprofil tinggi bukan setakat cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik tetapi juga menabur jasa kepada masyarakat serta sentiasa menghormati ibu bapa dan tunduk kepada Allah SWT.
Tidak boleh sesekali menjadi seperti kisah si Tanggang yang lupa daratan hanya kerana sudah berada di kemuncak kejayaan. Tiada gunanya seseorang itu berjaya serba-serbi tetapi memiliki budi pekerti yang rendah.
Mendabik dada dengan kejayaan yang diperoleh, menyombong dengan masyarakat atau lebih teruk lagi tidak menghormati ibu bapa dan merosakkan agama Islam. Lebih-lebih lagi, era teknologi maklumat melibatkan media sosial telah dan sedang memusnahkan budi pekerti masyarakat moden.
Semakin kurangnya sikap hormat-menghormati antara satu sama lain sehingga boleh merosakkan hubungan silaturahim. Walhal, agama Islam itu sendiri sentiasa menuntut kita menjaga hubungan silaturahim kerana dengan itu kehidupan manusia akan sentiasa kekal baik.
Banyak kebaikan yang akan diperoleh dengan menjaga hubungan silaturahim sesama manusia. Tidak kiralah dengan sesiapa pun kita berinteraksi, menjaga silaturahim adalah pokok pangkal hubungan sesama manusia. Tidak menjaga silaturahim boleh merosakkan kehidupan seseorang.
Malah, boleh merosakkan masyarakat secara keseluruhannya. Bayangkan tiada lagi perasaan untuk sentiasa menjaga hubungan persahabatan dan persaudaraan, ia menjadi punca pergaduhan, perbalahan dan perseteruan berpanjangan.
Pada masa sama, budi pekerti yang mulia perlu seiring dengan sentiasa menjaga agama Islam. Usah mudah terlibat dengan pelbagai tafsiran pemikiran moden yang kononnya kehidupan sekarang boleh berdiri sendiri tanpa agama.
Tafsiran seperti inilah yang menyebabkan manusia menuntut kehidupan di luar batas agama Islam. Walhal, agama Islam jelas menerangkan bagaimana kaum-kaum terdahulu dibinasakan kerana melakukan perbuatan di luar batas kehidupan.
Kita sewajarnya menjadikan kisah-kisah kebinasaan kaum-kaum terdahulu sebagai pengajaran untuk kita menjalani kehidupan sebagaimana yang diajar oleh agama Islam. Kita juga wajar mengambil iktibar kehidupan umat Islam yang amat cemerlang semasa era kegemilangan Islam dahulu.
Tidak kira status kita, pemimpin mahupun golongan yang dipimpin, kaya mahupun miskin, tunduk kepada Yang Maha Esa adalah satu kewajipan buat setiap orang Islam. Lebih-lebih lagi, ketika bulan Ramadan, kita diajar untuk mengubah diri menjadi seorang manusia yang memiliki pekerti yang mulia.
Hal ini cukup penting dalam merealisasikan umat Islam era kini yang cemerlang dan menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam. Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha untuk membentuk masyarakat berpekerti mulia bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat Allah SWT. Selamat menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak.
PENULIS ialah Profesor Madya merangkap Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Universiti Utara Malaysia (UUM).











