KUALA LUMPUR 7 Mei – OCBC Al-Amin meneruskan tradisi pengagihan bubur lambuk di jalan-jalan sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur sebagai antara usahanya untuk menghidupkan semangat muhibah.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, orang ramai dari segenap lapisan masyarakat di kawasan berhampiran ibu pejabat bank tersebut di Wisma Lee Rubber, Jalan Melaka, berpeluang menikmati juadah Ramadan sambil meluangkan masa seketika untuk berbual dan berkongsi semangat bulan puasa.
“Ini merupakan tradisi yang diperkenalkan OCBC Al-Amin sejak ia ditubuhkan sebelas tahun yang lalu pada 2008, tanggal 1 Ramadan disambut dengan tradisi mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat sekeliling.
“Sempena ketibaan bulan Ramadan, saya bersama rakan-rakan sekerja ingin berkongsi semangat perpaduan dengan bersedekah bubur lambuk. Sedekah ini membawa keseronokan kepada kami semua. Kami bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Masjid Jamek dalam usaha ini dan kami harap Ramadan tahun ini membawa lebih makna kepada semua umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
OCBC Al-Amin merupakan antara dua bank Islam asing yang terulung di Malaysia, mempunyai 11 cawangan di seluruh negara dan turut menawarkan produk dan perkhidmatannya menerusi 33 cawangan OCBC Bank di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE











