TANAH MERAH – Seorang ibu serta dua anaknya berusia empat dan lima tahun yang menaiki sebuah motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang membawa daun ketum seberat 150 kilogram di Jalan Machang – Tanah Merah – Jeli di Nibong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi, mangsa, Nor Zurita Shah Kadir, 27, dua anaknya, Muhammad Adam Mukhriz Adnan, 5, dan Siti Husna Qaisara, 4, maut serta-merta di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian di Nibong melibatkan kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan kereta Proton Wira.
“Pemandu kereta warga Thailand berusia 25 tahun memandu kereta tersebut dari arah Jeli menuju ke Tanah Merah. Semasa tiba di lokasi kejadian kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan berdasarkan kesan brek sejauh 50 meter.
“Kereta berkenaan merempuh motosikal dinaiki ibu dan dua anak itu mengakibatkan motosikal itu putus dua selain kesemua mangsa tercampk kira-kira 10 meter. Motosikal itu terhumban ke dalam semak berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Suzaimi berkata, pemeriksaan dalam kereta itu menemui beberapa bungkusan hitam dalam but belakang kereta berisi daun ketum anggaran berat 150 kilogram.
“Siasatan awal mendapati suspek memandu kereta di bawah pengaruh dadah dan semasa kejadian kita percaya dia mengantuk sebelum terbabas dan merempuh mangsa.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine atau pil kuda dan polis menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, suspek dipercayai membawa daun ketum dari arah Jeli dan bekalan itu adalah pasaran sekitar daerah ini.
“Kereta itu adalah atas nama seorang lelaki tempatan dan suspek mengatakan telah membeli kenderaan itu.
“Mayat mangsa dibawa ke Hopsital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” tambahnya. K! ONLINE











