BANDAR SERI BEGAWAN 6 Mei – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memutuskan untuk tidak menguatkuasakan pelaksanaan hukuman rejam sampai mati terhadap pelaku seks sesama jenis dan zina selepas menerima kecaman hebat global.
Dalam ucapannya malam tadi, baginda bertitah, moratorium ke atas hukuman mati yang telah terpakai kepada kanun jenayah juga akan diperluaskan kepada kod syariah baharu, termasuk hukuman rejam sampai mati bagi pelbagai kesalahan jenayah.
Kod tersebut yang membenarkan hukuman potong tangan dan kaki kepada pencuri dikuatkuasakan bermula bulan lepas, menjadikan Brunei sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang melaksanakannya.
Langkah itu mencetuskan kemarahan ramai pihak, dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkannya sebagai pencabulan terang-terangan hak asasi manusia, kepada barisan selebriti termasuk George Clooney yang mengajak dunia memboikot hotel milik Brunei.
Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung itu, Sultan Hassanal Bolkiah buat kali pertama mengulas berkaitan isu tersebut, mengambil langkah tersendiri dalam berdepan kritikan dan menekankan tentang kewujudan pelbagai persoalan dan salah faham berkenaan undang-undang syariah.
“Undang-undang am dan syariah, kedua-duanya dilaksanakan untuk menjaga keamanan dan keharmonian negara ini,” tegas baginda.
Namun wujud beberapa kumpulan hak asasi manusia yang berpandangan pengumuman yang dibuat itu masih tidak memadai.
“Ini tidak mengubah apa-apa pun,” kata Pengasas The Brunei Project, Matthew Woolfe.
Di bawah undang-undang syariah, hukuman maksimum bagi pelaku seks sesama jenis adalah rejam sampai mati, selain penjara dan sebatan ketika pasangan lesbian akan dihukum 40 kali sebatan atau sepuluh tahun penjara.
Sebatan, penjara dan potong tangan serta kaki (pencuri) tidak dinyatakan dalam pengumuman itu dan sejauh mana undang-undang syariah yang lain dapat dilaksanakan masih menjadi persoalan.
Sultan Hassanal Bolkiah turut berikrar untuk meratifikasi konvensyen PBB menentang penyeksaan yang dipersetujui beberapa tahun yang lalu.– AFP











