KUALA LUMPUR 6 Mei – Hasrat seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk bertemu keluarganya bersempena hari pertama bulan Ramadan tidak kesampaian apabila terlibat kemalangan di Kilometer 415 Lebuh raya Utara-Selatan (Plus), Lembah beringin, dekat sini hari ini.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 petang ketika mangsa, Ahmad Syahizi Rashid Minkahar, 21, dalam perjalanan dari pangkalan TLDM Lumut ke rumah keluarganya di Melaka.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintenden Sahimi Husin berkata, kemalangan berlaku selepas motosikal Yamaha 125z yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum jatuh ke lorong kecemasan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan dibawa ke Hospital Tanjung Malim untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambah Sahumi, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











