HULU SELANGOR – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam satu kejadian di Kilometer 415, Lebuh Raya Utara Selatan di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.18 petang sewaktu mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
“Sewaktu kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z untuk pulang ke rumahnya di Melaka dan dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri sebaik melalui lokasi kejadian.
“Motosikal ditunggang mangsa telah terbabas ke bahu kiri jalan dan susulan kejadian itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jelas Sahimi, kes berkenaan masih di dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











