KOTA BHARU 6 Mei – Selepas mencatatkan empat rekod Malaysia Book of Records (MBOR), kini lelaki tertua yang berkayuh mengelilingi Semenanjung Malaysia mahu mencatatkan sejarah buat kali kelima.
Kali ini, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, mahu mencatatkan rekod sebagai lelaki tertua yang paling pantas berkayuh mengelilingi Semenanjung Malaysia melalui selatan Thailand dalam tempoh 15 hingga 20 hari.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Wan memberitahu cabaran itu pernah dilakukan olehnya dengan mengambil masa selama 30 hari namun kali dia akan sedaya upaya memecah rekod itu.
Katanya, kayuhan solo dengan kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) itu akan bermula pada 22 Jun ini merangkumi sejauh 2,400 kilometer (km) dan dijangka sampai ke Kelantan pada 10 Julai nanti.
“Misi ini sangat mencabar bagi Pak Wan kerana terpaksa mengayuh basikal sejauh 120km hingga 130km satu hari dengan mengambil selama 12 jam.
“Pak Wan sekali lagi mencabar diri untuk membuat sesuatu kelainan dan ini merupakan cabaran besar untuk dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim di sini hari ini.
Bapa kepada enam anak, 20 cucu dan seorang cicit sudah membuat persediaan rapi daripada segi kesihatan, mental dan fizikal termasuk melakukan latihan sejam sehari selepas solat Terawih sepanjang Ramadan ini.
“Perjalanan Pak Wan akan bermula di Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, Tumpat sebelum menaiki feri ke Takbai Thailand dan seterusnya ke Padang Besar, Perlis untuk memulakan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Azran Fitri berkata, kayuhan itu membawa satu misi iaitu memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya celik atau sedar maklumat.
“Apabila mengetahui hasrat Pak Wan, kami berbincang. Dan Kemudi melantik Pak Wan menjadi duta kecil untuk membawa obor Kempen Sedar Maklumat.
“Pak Wan akan mengedar risalah kempen yang mengandungi laman web agensi berita yang berita yang berkredibiliti untuk dirujuk.
“Kita mahu masyarakat sedar setiap maklumat yang diterima perlu disemak dan cara yang paling mudah rujuk kepada agensi media tradisional seperti Utusan Malaysia, Kosmo, Sinar Harian, Berita Harian, RTM,TV3 dan banyak lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











