KOTA BHARU 6 Mei – Program Daurah al-Quran sempena program Ihya Ramadan anjuran Kerajaan Pas Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV atau lebih dikenali dengan nama ‘Madinah Ramadan’ di sini terus mendapat sambutan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.
Biarpun ini hari pertama umat Islam berpuasa, tinjauan Utusan Online mendapati kira-kira 150 peserta lelaki dan wanita hadir mengikuti kuliah tafsir yang mengupas maksud dari Surah Al-Baqarah dari ayat satu hingga ayat 141 hari ini.
Khemah besar yang dilengkapi kemudahan deretan pendingin hawa, 20 buah kipas serta empat televisyen layar besar ternyata memberi keselesaan kepada para peserta.
Program harian yang akan berlangsung sepanjang Ramadan ini diisi dengan sesi bacaan ayat-ayat suci al Quran, terjemahan serta kupasan terperinci itu telah bermula dari pukul 9 pagi hingga pukul 1.15 tengah hari.
Sesi kuliah tafsir pada hari pertama ini telah disampaikan dua orang pensyarah iaitu Dr Ahmad Najib Abdullah dari Universiti Malaya (UM) dan Dr Azhar Abdullah dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) manakala alunan bacaan juzuk satu al Quran pula oleh qari terkenal negeri, Alwi Junus dan Khairul Azwa Alias.
Pihak penganjur menggunakan Tafsir Al Munir karangan tokoh ilmuwan besar Almarhum Dr Wahbah al Zuhaili sebagai rujukan utama program Daurah Al Quran tahun ini. – UTUSAN ONLINE











