Emaar sedia bantu usahawan baharu - Utusan Malaysia

Emaar sedia bantu usahawan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka Emaar Packaging Solutions (Emaar) yang kini terlibat dalam bidang pembungkusan, pernah memiliki produk sendiri berasaskan kurma, Suraya. Produk ber­kenaan telah memasuki pasaran antarabangsa seperti Dubai dan United Kingdom.

Menurut Pengurus Prinsipal Emaar, Rosli Ghazalli, syarikatnya merupakan satu-satu­nya dari Malaysia yang memasuki pasaran Dubai untuk menjual kurma pada 1999.

“Kami menggunakan kurma berkualiti dari Arab Saudi dan mengolahnya dengan pelbagai perisa. Ketika itu terdapat 14 syarikat yang masuk ke pasaran Dubai untuk menjual kurma dan kami berjaya berada di kedudukan kelima dari segi jualan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami turut membuka pejabat melalui rakan niaga di Dubai bagi mengembangkan lagi perniagaan kurma susulan permintaan tinggi terhadap Suraya. Bagaimanapun, beberapa masalah tidak dapat dielakkan menyebabkan kami terpaksa menarik diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bermula 2003, Emaar mula membuat pembungkusan produk kurmanya untuk syarikat-syarikat korporat seperti Petronas, DRH-Hicom dan ­industri perbankan. Rekaan kotak pembungkusan yang ­eksklusif menjadi pilihan ­pelanggan korporat.

Mengenai perniagaan semasa, Rosli berkata, pihaknya kini memberi fokus kepada penghasilan kotak, kad, beg kertas, fail, diari, kalendar dan laporan tahunan syarikat korporat.

Katanya, Emaar menawarkan perkhidmatan menyeluruh termasuk memberi khidmat nasihat dari aspek rekaan dan saiz kotak dan jenis bungkusan yang perlu digunakan.

“Ada yang datang kepada kami membuat pembungkusan, tetapi mereka tidak mempunyai idea. Kalau tempat lain, kedai tidak akan terima kerana memakan masa, tetapi di Emaar kami sedia membantu.

“Ini kerana 70 peratus usahawan yang datang kepada kami adalah bumiputera, malah ada yang hendak memulakan perniagaan. Jika bukan kami yang menolong, siapa lagi,” Jelasnya.

Menurut Rosli, Emaar tidak menolak untuk menerima tempahan kurang daripada kuantiti pesanan minimum (MOQ) kerana memahami ­kekangan kos yang dihadapi usahawan baharu.

Sejak 2017, Emaar beroperasi di lokasi baharu iaitu di hab percetakan Pudu, Kuala Lumpur kerana lebih strategik selain memiliki kemudahan lengkap berbanding lokasi lama di ­Subang 2, Selangor.

Tambah Rosli, industri pembungkusan sentiasa ada turun naik disebabkan pelbagai faktor seperti ekonomi, permintaan bermusim dan keupayaan syarikat memenuhi permintaan ­pelanggan.

Rosli berkata, peniaga perlu bijak melihat trend-trend pembungkusan terkini yang mana ia sebenarnya mewujudkan ­banyak peluang baharu.

“Ada pembungkusan yang ringkas, tetapi memiliki elemen mewah dan mampu menarik perhatian orang ramai. Ada pembungkusan yang mahal serta cantik dan ia akan dihargai dan disimpan untuk jangka masa lama.

“Pembungkusan ibarat seni. Jika salah memilih, ia akan mengelirukan atau gagal menarik perhatian pembeli sekali gus menyebabkan produk tidak mendapat sambutan,” katanya.

Disebabkan itu, Rosli lebih gemar berjumpa pelanggan secara bersemuka kerana mudah baginya untuk memberi khidmat nasihat selain mewujudkan kepercayaan antara pelanggan dan syarikat. Beliau tidak menolak kepentingan platform media sosial kerana promosi produk dilakukan di Facebook dan Instagram.

Selain itu, Emaar tidak terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan, sebaliknya lebih tertumpu kepada pelanggan korporat. Rosli mengakui terdapat penyusutan perolehan daripada projek-projek kerajaan, tetapi ia tidak menjejaskan syarikat sebaliknya membantu syarikat untuk lebih berdaya tahan.

Mengenai perancangan masa depan, Rosli mahu mendapatkan lebih ramai pelanggan di luar Lembah Klang.

“Jika mendapat tempahan dari mana-mana negeri kami sedia penuhi. Buat masa ini, kami mempunyai perniagaan bersekutu di Shah Alam, Kuantan dan Johor Bahru dan mereka bertanggungjawab untuk rekaan dan pemasaran di sana.

“Selain itu, kami mahu menaikkan semula jenama Suraya dengan membuat penambahbaikan pada bungkusannya dengan memasukkan elemen eksklusif,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini