MADRID 6 Mei – Ernesto Valverde menegaskan Barcelona tidak memandang rendah terhadap keupayaan Liverpool meskipun skuad kendaliannya itu sudah pun meletakkan sebelah kaki mereka ke pentas final Liga Juara-Juara apabila menewaskan The Reds 3-0 dalam separuh akhir pertama kejohanan.
“Liverpool pasukan yang boleh membuatkan mana-mana lawan menderita.
“Tahun lalu kami juga memiliki bekalan tiga gol di suku akhir namun kami tidak layak,” katanya.
Valverde mengetahui kekalahan kepada Roma menerusi peraturan gol di tempat lawan masih segar dalam ingatan pemainnya malah mereka menjadi perlawanan tersebut sebagai peringatan.
Barca menewaskan Roma 4-1 di Nou Camp namun mereka tewas 0-3 di Rome dalam aksi timbal suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu, membolehkan kelab Itali itu mara ke peringkat separuh akhir.
“Kami tidak mempunyai sebab untuk berasa terlalu selesa. Keputusan memang bagus dan saya tidak menafikannya namun persaingan masih terbuka,” katanya lagi.
Liverpool membuktikan mereka lebih kuat berbanding Roma apabila meledak tiga gol atau lebih pada musim ini ketika menentang lawan seperti Paris Saint-Germain (PSG) dan Porto pada musim ini.
“Kami ada kelebihan untuk menjadi juara dan sudah tentu kami berusaha untuk merealisasikannya,” kata Valverde. – AFP










