KUANTAN 5 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan dua buah bot nelayan asing yang didapati menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara di sini semalam.
TLDM dalam kenyataannya berkata, tangkapan itu dibuat awal pagi dan petang semalam ketika melaksanakan operasi mengawal keselamatan serta kedaulatan sempadan maritim negara.
“Penahanan dua bot nelayan asing berkenaan beserta 20 awak-awak itu dibuat oleh KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Laksamana Tan Pusmah kerana dipercayai menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram serta tidak terkawal.
“Ia berdasarkan kepada lokasi dan hasil tangkapan yang diperoleh serta peralatan menangkap ikan di atas kedua-dua buah bot,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati kesemua awak-awak dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pada masa sama, kedua-dua bot tersebut dilihat cuba mengabui penguatkuasa negara dengan menyamar sebagai bot nelayan tempatan. Antara tindakan yang diambil oleh mereka untuk mengelak daripada ditahan adalah dengan mengibar bendera Malaysia, mempamerkan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan, dan menunjukkan lesen bot yang disyaki palsu kepada anggota penguatkuasa.
“Kedua-dua bot itu diserahkan kepada Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE











