Raja Thailand ditabal - Utusan Malaysia

Raja Thailand ditabal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn ditabal sebagai Raja Rama X pada Istiadat Pertabalan Diraja yang penuh dengan tradisi Thailand di sini semalam.

Istiadat pertabalan bermula pada pukul 10 pagi dengan Upa­cara Penyucian Diraja atau Song Muratha Bhisek di Kediaman Diraja Chakrabat Biman. Air disiram ke tubuh baginda sebagai simbolik penyucian diiringi puluhan das tembakan meriam.

Baginda kemudian berangkat ke Balairung Seri Baisal Daksin di Istana Besar, di Bangkok de­ngan memakai persalinan regalia diraja untuk menerima alat-alat kebesaran dan pemakaian mahkota.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beta akan mengekalkan, menjaga dan terus memerintah de­ngan kebenaran demi kesejahte­raan dan kemakmuran rakyat,” titah baginda pada istiadat pertabalan tersebut.

Maha Vajiralongkorn turut memberi restu kepada isteri, Permaisuri Suthida dan kerabat diraja lain.

Istiadat diteruskan dengan ketibaan kerabat, Majlis Penasihat, Jemaah Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang hadir untuk memberi sembah tahniah kepada baginda di Dewan Takhta Amarindra Vinicchaya.

Puteri Maha Chakri Sirindhorn mengetuai sembah tahniah diikuti Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha, Presiden Dewan Negara, Somsak Kiatsuranont dan Ketua Hakim Negara, Cheep Jullamon.

Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir.

Baginda kemudian berangkat ke Kuil Buddha Zamrud untuk mengisytiharkan dirinya sebagai penaung agama Buddha. Istiadat hari pertama semalam berakhir dengan upacara ‘Assumption’ di Chakrabat Biman.

Maha Vajiralongkorn naik takhta selepas kemangkatan ayahnya, Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016.

Monarki berusia 66 tahun itu merupakan satu-satunya anak lelaki Raja Bhumibol. Baginda dilantik menjadi Putera Mahkota pada tahun 1972.

Raja Vajiralongkorn pada 1 Mei lalu membuat kejutan dengan menabalkan isteri yang baru dikahwininya sebagai Permaisuri.

Hari ini, Raja Rama X akan menghadiri majlis penganugerahan darjah kebesaran kepada kerabat diraja di Balairung Seri Amarindra Vinicchaya sebelum Istiadat Perarakan berlangsung di sekitar ibu kota. Seramai 200,000 ribu rakyat Thailand dijangka hadir untuk perarakan berkenaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini