Pekebun rugi RM290,606 ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Pekebun rugi RM290,606 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 5 Mei – Seorang pekebun di Cameron Highlands dekat sini berputih mata selepas kerugian RM290,606.80 ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa barang kirimannya dikesan mempunyai dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, ketika berada di rumahnya di kawasan tanah tinggi berkenaan pada 22 April lalu, mangsa berusia 54 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Pejabat Pos Kuantan.

Katanya, lelaki itu mendakwa barang kiriman mangsa ke Sarawak dikesan mengandungi dadah dan dirampas oleh pihak berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Panggilan itu kemudian disambung kepada seorang anggota polis bernama ‘Sarjan Chew’ dan untuk menyelesaikan kes, penggilan disambung pula kepada pegawai polis yang didakwa di Bukit Aman bernama ‘Tuan Yong’.

“Pada 25 April lalu, ‘Tuan Yong’ meminta mangsa memindahkan duit ke dalam akaun RHB Bank sebanyak RM172,606.80. Keesokkannya, mangsa memindahkan lagi wang ke dalam akaun sama berjumlah RM20,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, ‘Tuan Yong’ meminta pekebun berkenaan membuat empat lagi pemindahan wang iaitu pada 27 April (RM18,000), 29 April (RM30,000), 30 April (RM30,000) dan pada 1 Mei lalu (RM20,000).

Katanya, tidak tahan kerana sering didesak melakukan pemindahan wang, mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam dan baru menyedari dia telah ditipu.

“Modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis sehingga mangsa mengalami kerugian yang besar,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini