PULAU PINANG 5 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah kapal dagang dari Myanmar semalam kerana gagal mempamerkan dokumen yang sah.
Kapal berkenaan ditahan di perairan Pulau Pinang pada kedudukan 0.5 kilometer dari Barat Pangkalan Weld Quay, kira-kira pukul 1.45 petang.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, sebuah bot peronda Maritim Malaysia yang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang telah mengesan sebuah kapal yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Setelah pemeriksaan dilakukan, didapati lapan orang kru termasuk juragan warga Myanmar berada di atas kapal.
“Kesemuannya lelaki berumur lingkungan 23 hingga 52 tahun berada di atas kapal dan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hamizan kesemua mereka akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 50,000.
Beliau juga menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkat pemantauan dan rondaan bagi membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang jenayah di laut.
“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – UTUSAN ONLINE










