LONDON 5 Mei – Neil Warnock tidak pasti apakah dia akan kekal sebagai pengurus Cardiff City musim depan selepas kelab Wales itu tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris ekoran kekalahan 2-3 kepada Crystal Palace, hari ini.
Pengurus berusia 70 tahun itu tidak bercadang untuk bersara awal, namun dia mahu melengkapkan tugasan terakhirnya menentang Manchester United pada 12 Mei sebelum berbincang dengan pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan dan pengerusi, Mehmet Dalman.
“Saya fikir kami perlu berehat untuk beberapa hari sebelum memikirkan semua perkara.
“Saya mahu selesaikan tugas dan tidak boleh membuat sebarang andaian pada peringkat sekarang kerana kami masih ada satu perlawanan.
“Mehmet sangat baik dengan saya, jadi saya fikir kami akan berbincang mungkin hari ini, hujung minggu depan atau beberapa minggu lagi.
“Saya tetap akan bekerja tahun depan, kalau bukan di sini di tempat lain. Saya masih bersemangat untuk menghadapi cabaran,” kata Warnock.
Selepas mengharungi 37 perlawanan, Cardiff menghuni tangga ketiga tercorot dengan 31 mata hasil sembilan kemenangan, empat seri dan 24 kekalahan.
Skuad Bluebirds mengiringi Huddersfield dan Fulham yang sudah terlebih dahulu tersingkir ke Liga Kejuaraan. – AGENSI










