KUALA LUMPUR 4 Mei – Malaysian Tigers gagal menamatkan kempen Siri Akhir FIH dengan muncul juara kejohanan di laman sendiri biarpun telah layak ke pusingan akhir Kelayakan Sukan Olimpik 2020 selepas tewas 2-3 kepada Kanada dalam saingan akhir, hari ini.
Kanada berupaya meledak dua gol hasil pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan dengan baik oleh Scott Tupper pada minit ke-20 dan Brenden Bissett pada minit ke-22.
Pada suku ketiga, Kanada menambah gol ketiga pada minit ke-43 hasil jaringan padang daripada James Kirkpatrick.
Skuad kendalian Roelant Oltmans cuba bangkit menerusi jaringan padang Firhan Ashaari sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil meledak gol kedua Malaysia pada minit ke-53 bagaimanapun kedudukan kekal 3-2 hingga tamat perlawanan. – UTUSAN ONLINE











