SERDANG – Syarikat penerbitan buku terkenal, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan sembilan siri buku muhasabah diri Bercakap Dengan Cermin yang melibatkan seramai 214 penulis baharu seliaan Akademi Bonda Nor (ABN) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Pengasas ABN, Norli Madlan atau lebih dikenali sebagai Bonda Nor berkata, perancangan untuk menghasilkan siri buku tersebut tercetus ketika beliau menganjurkan Seminar Penulisan Mega Bonda Nor (SPMBN) yang disertai lebih 200 peserta pada 24 November 2018 di sebuah hotel di Bangi.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad.
Katanya, pihaknya turut membantu penulis baharu tersebut mengolah karya sulung masing-masing dalam tempoh dua minggu sebelum dimuatkan di dalam siri buku berkenaan.
“Setiap penulis dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang diketuai seorang perantis ABN bagi memantau gaya bahasa dan penulisan peserta.
“Projek itu menjadi realiti dengan kerjasama Galeri Ilmu Sdn. Bhd. yang berani mengambil risiko menerbitkan buku tulisan penulis baharu,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Dewan Auditorium Rashdan Baba di UPM di sini.
Tambahnya, buku yang berunsurkan dakwah santai tersebut menceritakan mengenai pengalaman sebenar penulis ketika menghadapi pelbagai dugaan hidup yang akhirnya dapat memberi pengajaran kepada diri mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Mohd. Yusri Mohd. Yusuf berkata,
setiap peserta akan diberikan 10 naskhah buku percuma sempena pelancaran hari ini.
“Kita harap mereka akan terus berkarya bagi menyumbang kepada dunia penulisan dakwah tanah air yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya. – K! ONLINE











