Pesanan terakhir seorang murabbi - Utusan Malaysia

Pesanan terakhir seorang murabbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jemaah Surau an-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan boleh dianggap mereka yang cukup bertuah kerana malam sebelum pemergian Datuk Seri Abu Hassan Din al-Hafiz , 73, ke rahmatullah beliau telah hadir ke surau tersebut untuk memberikan ceramah bertajuk ‘Di Ambang Ramadan’

Itulah destinasi ceramah Allahyarham yang terakhir sebelum beliau meninggal dunia selepas menunaikan solat subuh pada keesokan harinya. Yang pasti, dalam ceramah pada malam tersebut begitu banyak titipan nasihat yang ditinggalkan kepada para jemaah.

Kebetulan pula video ceramahnya itu tular dalam media sosial dan penulis sendiri sempat mendengar titipan nasihat yang diberikan oleh Allahyarham. Antara pesannya ialah pentingnya ada akaun akhirat. Setiap orang mesti mempunyai akaun akhirat kerana dalam akaun itu pahala akan tersimpan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apakah yang dikatakan akaun akhirat? Akaun akhirat itu ialah solat dan nombor akaunnya ialah 24434. Dua (subuh), empat (zuhur), empat (asar), tiga (maghrib) dan empat (isyak). Melalui solat sahaja akaun akhirat boleh dibuka, katanya.

Dalam satu hadis, Rasulullah pernah bersabda:”Yang membezakan antara orang Islam dan orang kafir, tinggalkan solat.” Hadis ini hadis sahih dan sanad yang sahih, kata Allahyarham. Oleh itu akaun 24434 ini jangan sesekali diambil mudah kerana hukumnya amat berat.

Meskipun seseorang itu melakukan ibadat puasa, sedekah, haji tetapi jika tidak bersolat, pahala tidak akan dicatatkan. Segala amalan yang dilakukan itu hanya sia-sia. Sebab apa? Sebab orang yang seperti ini tiada akaun 24434, kata Allahyarham lagi.

POSTER kuliah terakhir Datuk Seri Dr.Hassan Din Al-Hafiz di Surau An Nur Bandar Seremban Selatan. –
POSTER kuliah terakhir Datuk Seri Dr.Hassan Din Al-Hafiz di Surau An Nur Bandar Seremban Selatan. – MEDIA SOSIAL

Sebenarnya kata beliau, orang yang enggan bersolat lazimnya bukan tidak tahu akan kewajipan ibadat tersebut tetapi sengaja tidak mahu menunaikannya. Dengan kata lain mereka sengaja meninggalkan solat, sengaja memilih jalan ke neraka.

Seharusnya pesanan yang dititipkan oleh murabbi ini dijadikan pegangan sampai bila-bila memandangkan solat adalah kewajipan yang tiada kompromi. Solat wajib dilakukan walaupun seseorang itu terlantar. Lakukan semampunya. Jangan tinggalkan walau satu waktu sekalipun. Akaun 24434 perlu diaktifkan setiap hari.

Jika tidak mampu berdiri, duduk dan sekiranya tidak mampu duduk, berbaring sehingga ke tahap menggunakan isyarat mata. Begitulah besarnya kewajipan tunaikan solat. Mungkin ini juga hikmah Allah memberikan kesihatan yang baik kepada beliau sehinggalah 30 April lalu agar terus memberi ingatan kepada masyarakat melalui ceramahnya sebelum dijemput Ilahi sehari selepas itu.

Antara intipati lain dalam ceramah terakhirnya itu ialah pesannya agar mengutamakan ibadat wajib berbanding ibadat sunat. Tidak salah untuk melakukan ibadat sunat tetapi jangan sampai peringkat mengabaikan yang wajib.

Beliau membawa satu kaedah ‘jangan terlalu tamak perkara sunat, bimbang nanti luput perkara wajib’. Allahyarham mengambil satu contoh bagaimana beliau bertemu seorang jemaah haji yang melakukan umrah sebanyak tiga kali sehari sedangkan hukumnya adalah sunat. Akhirnya pada 6 Zulhijjah jemaah tersebut terpaksa dimasukkan ke dalam wad kerana sakit sekali gus menjejaskan ibadat hajinya beberapa hari selepas itu.

Bagitu juga kata Allahyarham, mereka yang berpuasa tiga bulan berturut-turut bermula Rejab, Syaaban dan terakhir Ramadan. Disebabkan terlalu kejarkan yang sunat akhirnya terlepas untuk melakukan puasa wajib pada bulan Ramadan kerana sakit.

Allahyarham juga membawa satu contoh seorang imam yang memanjangkan solat asar dan wirid serta doa. pada masa sama terdapat jenazah yang perlu disembahyangkan. Pada masa itu kata Allahyarham, imam perlu memendekkan tempoh bersolat untuk memberi laluan kepada solat jenazah dengan segera. Wirid dan doa hukumnya adalah sunat manakala hukum solat jenazah adalah fardu kifayah.

Selain itu beliau turut berpesan agar kita tidak mengikut amalan puak Syiah. Justeru, Allahyarham meminta jika disebut nama Saidina Ali hendaklah disam­bung RA (Radiallahuanhu ) dan bukan KW (Karramallahu Wajhah) sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman.

Syiah sahaja yang menyebut Saidina Ali dengan gelaran KW. Mereka terlalu memuliakan Saidina Ali. Allahyarham berkata, masyarakat Islam di negara ini sebenarnya terlalu terikut-ikut amalan Syiah. Syiah hanya mengiktiraf keluarga Rasulullah sahaja sedangkan para Sahabat tidak diiktiraf. Bahkan Syiah mengkafir para Sahabat.

Allahyarham juga sempat menegur tentang penggunaan ta’ala dalam ucapan salam. Kata beliau, ucapan salam hendaklah dibaca tanpa disebut ta’ala. Jika disebut ta’ala dalam ucapan salam hukumnya adalah makruh tahrim iaitu hampir-hampir haram.

Oleh itu, ucapan salam yang paling sempurna ialah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan bukan assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh iaitu seperti mana ucapan salam dalam bacaan tahiyyat ketika bersolat.

Begitulah antara intipati titipan pesanan dan nasihat Allahyarham ketika berceramah di surau tersebut. Sesungguhnya ilmu yang ada pada Allahyarham terlalu luas dan beliau tidak lokek untuk berkongsi dengan masyarakat sehinggalah akhirnya hayatnya. Teringat penulis pada satu hadis Rasulullah SAW berkisar tentang kehilangan ulama.

Dalam hadis itu, Rasulullah bersabda: ”Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia, tetapi Allah mencabut ilmu dengan mencabut roh (mematikan) para ulama. Sehinggalah tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal. Ketika itu manusia akan melantik ketua mereka orang yang jahil. Apabila orang menanyakan sesuatu, pemimpin itu mengeluarkan fatwa tanpa asas ilmu. Maka, sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain.”– Riwayat al-Bukhari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini