‘Aneh’ Lokman Hakim - Utusan Malaysia

‘Aneh’ Lokman Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aneh. Itu perkataan pertama keluar daripada mulut penulis, Lokman Hakim ketika ditanya tentang perasaannya selepas cerpennya, Pengap disenarai pendek sebagai salah satu daripada 21 cerpen dari seluruh negara Komanwel yang terpilih untuk Hadiah Cerpen Komanwel 2019.

Rasa aneh itu katanya disebabkan dia sendiri tidak pernah memenangi mana-mana pertandingan dalam negara walaupun aktif menghantar cerpen kepada media massa sekitar 2016.

“Malah saya agak terkejut ketika menerima e-mel daripada pihak penganjur yang memaklumkan jumlah penyertaan yang mereka terima ialah sebanyak 5,081 penyertaan. Maka boleh terpilih itu agak luar biasa dan agak aneh kerana persaingan sengit dan peserta hanya boleh menghantar satu cerpen sahaja,” katanya yang berasal dari Sibu, Sarawak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lokman Hakim Abdul Wahid, 35, mengakui banyak cerpen hasil nukilannya tersiar dalam media massa tetapi dia tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah namun secara tiba-tiba dicalonkan dan itu dianggap sebagai pencapaian terbaik buat dirinya.

LOKMAN HAKIM bersama-sama sebahagian daripada novel hasil tulisannya.
LOKMAN HAKIM bersama-sama sebahagian daripada novel hasil tulisannya.

Pengap adalah satu-satunya cerpen bahasa Melayu yang terpilih ke pertandingan itu dan telah diterjemahkan oleh penterjemah, Adriana Nordin Manan.

Cerpen itu mengisahkan tentang seorang lelaki yang berniaga di pinggir ibu kota dan telah diarah pindah oleh pihak penguat kuasa ke dalam kota yang sesak dan pengap.

Kata Lokman Hakim, disenarai pendekkan itu juga adalah satu pencapaian yang mengagumkan dan boleh dibanggakan.

“Ini kerana buat pertama kali karya penulis Malaysia disenarai pendek untuk Komanwel,” katanya yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta.

Cerpen yang mengandungi 2,200 patah perkataan itu dihasilkan dalam tempoh sehari dan dihantar kepada pihak penganjur pada 12 September tahun lalu manakala pengumuman terpilih untuk disenarai pendek dimaklumkan pada 23 Mac lalu.

Ini merupakan kali pertama pihak penganjur memberi peluang kepada cerpen bukan bahasa Inggeris untuk menyertai pertandingan tersebut dengan turut menyediakan penterjemah.

Bercerita tentang penghasilan cerpen, jurutera ini memberitahu bahawa dia menulis setiap hari dan akan menghasilkan sekurang-kurangnya dua cerpen setiap minggu malah ilham untuk menulis tidak pernah kering dalam minda penulis muda ini.

Pembacaan yang banyak tanpa memilih medium, interaksi dengan masyarakat serta pemerhatian gelagat manusia tanpa mengira tempat sama di tempat kerja atau di gerai makan, memberi ilham untuk dia berkarya.

“Komentar orang ramai terutama tentang isu politik yang hangat diperkatakan dalam media sosial turut memberi ilham. Saya melihat keadaan realiti semasa. Apa yang boleh ditukar akan dijadikan cerita dan kemudian ditulis dalam bentuk cerpen,” katanya yang menyifatkan cerpen sebagai satu medium kritikan sosial.

Ujar Lokman Hakim, setiap minggu dia menghantar tiga cerpen kepada pihak media massa antaranya akhbar Mingguan Malaysia, Berita Harian, majalah Dewan Sastera, Tunas Cipta dan portal penulis cerpen, Cukaria.

Dia mula menghantar cerpen ke Mingguan Malaysia pada 2017 dengan cerpen pertama disiarkan dalam akhbar ini pada 21 Januari tahun lalu bertajuk Lohong Pada Topeng Tamadun diikuti Terusir (1 Julai 2018) dan Puisi Tiada Dalam Dompetnya (19 Ogos 2018).

Setakat bulan lalu sebanyak 24 cerpen dihasilkan namun sepanjang tahun lalu sebanyak 80 cerpen telah dinukilkan selain dua antalogi cerpen iaitu Nyawa Tanpa Bayang diterbitkan pada 2015 seterusnya antalogi kedua, Meliuknya Api Pelita Itu pada 2018 manakala antologi ketiga bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Lulusan Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sebenarnya bukanlan asing dalam bidang penulisan malah terlebih dahulu telah menempa nama dalam bidang penulisan novel berbanding cerpen.

Memilih genre sains fiksyen dan eskatologi, sesuai dengan jiwa golongan muda, Lokman Hakim berkata, sehingga kini sebanyak 15 buah novel telah dihasilkan dengan novel pertama sains fiksyen bertajuk Selamat Datang Ke Narkisa diterbitkan pada 2014.

Novel terbaharu Chaos yang mengandungi elemen seram khusus untuk golongan remaja juga telah dilancarkan.

Ditanya tentang penulisan eskatologi yang menggarap teologi kiamat dan selepas kematian, dia berkata, penulisan tersebut tidak menyentuh tentang hukum agama sebaliknya lebih kepada falsafah namun dia tidak gentar jika dihentam kerana baginya itulah cara yang terbaik untuk memperbaiki penulisan dan menambah ilmu.

Melangkah ke peringkat antarabangsa bagi Lokman Hakim adalah cubaannya untuk mengangkat karya bahasa Melayu kerana jelas banyak pihak luar sebenarnya mahu melihat hasil tulisan penulis sesebuah negara tetapi dalam bahasa yang difahami di samping mereka mahu intipati sesuatu cerita adalah berkaitan hal ehwal tempatan.

“Bagi saya, kita tidak boleh menjadi jaguh kampung sahaja. Perlu keluar dan berfikiran seperti mana penulis antarabangsa dan menulis setara dengan kualiti mereka.”

“Menang atau tidak, saya akan tetap berusaha untuk menulis dan saya mahu terus memperjuangkan bahasa Melayu yang kemudian boleh diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk mereka di luar sana,” katanya.

Menurut Lokman Hakim, banyak penulis Malaysia yang telah berjaya di peringkat antarabangsa tanpa menyertai sebarang pertandingan tetapi menggunakan medium bahasa Inggeris kerana mereka mempunyai networking dengan kumpulan penulis di peringkat global.

Selain Lokman Hakim seorang lagi penulis Malaysia yang disenarai pendek ke Hadiah Cerpen Komanwel 2019 ialah Saras Manickam dengan cerpen bertajuk My Mother Pattu.

Nama pemenang bahagian rantau Asia akan diumumkan pada 9 Mei ini manakala pemenang keseluruhan akan diumumkan pada 9 Julai di Quebec, Kanada.

Pemenang peringkat rantau akan menerima wang £2,500 (RM13,352) manakala pemenang keseluruhan £5,000 (RM26,704).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini