Banglo di pinggir hutan - Utusan Malaysia

Banglo di pinggir hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan baru saja reda. Jam sudah pukul 12.15 malam. Isteri saya, Eima seorang diri menutup kiosk kami di tepi jalan besar Kampung Nyior, Paka, Terengganu. Ketika menarik gril dan hendak menguncinya, Eima perasan, ada seorang wanita separuh umur di tempat menunggu bas di hadapan kiosk kami itu.

“Kenapa pulak mak cik tu duduk seorang diri lewat malam macam ni?” fikir Eima.

Isteri saya meneruskan kerjanya, mengambil beg dan menutup lampu kiosk. Yang ada dalam kepalanya ketika itu hanya satu iaitu mahu cepat sampai di rumah dan tidur. Dia sudah letih sangat. Badan pun kurang sihat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seminggu sebelum itu saya terpaksa ke Kedah kerana ada tugasan di Petronas Fertilizer, Gurun. Sepeninggalan saya, Eima terpaksa uruskan semuanya. Pukul 3 pagi sudah bangun, masak aneka sarapan untuk dijual di kedai seorang kawan.

Pukul 7 pagi, uruskan anak. Pukul 8 pagi, tunggang motosikal sejauh 17 kilometer dari rumah kami di pinggir bandar Paka untuk buka kiosk pula. Dialah yang menguruskannya hingga pukul 12 malam. Kiosk kami itu menjual makanan ringan dan air.

SIMPANG

Selesai menutup kiosk, Eima lihat wanita separuh umur itu masih duduk di tempat menunggu bas.

“Nak pergi mana, mak cik?” Eima menegur.

“Mak cik ni dari Kelantan, nak turun kat depan sana, tapi tersilap, mak cik terturun kat sini. Ada lagi tak teksi atau bas lalu sini?” tanya wanita tersebut.

Jawab Eima, tidak ada. Sudah lewat malam. Waktu itu timbul rasa kasihan di hati Eima.

“Tak apalah mak cik, mari saya hantarkan. Rumah saya pun lalu jalan yang sama juga.”

Wanita berjubah dan bertudung itu ucapkan terima kasih dan membonceng di belakang Eima. Beg jinjit diletakkan di pangkuannya. Eima menunggang motosikalnya sampailah ke simpang tidak jauh daripada Hotel Rumbia. Kata wanita itu, cukuplah, turunkan saja dia di situ.

Eima enggan. Tidak sampai hati Eima hendak turunkan mak cik itu di kawasan gelap, kemudian biarkan dia berjalan seorang diri balik ke rumah.

“Takpe mak cik, saya hantar sampai rumah mak cik. Tunjukkan saya jalannya.”

Wanita itu pun menunjukkan arahnya dari simpang tadi memasuki jalan yang terang benderang. Rumah di sekelilingnya besar, cantik dan tersusun rapi. Walaupun sudah masuk dinihari, semua rumah masih tetap menyalakan lampu menjadikan suasana di sepanjang jalan tersebut begitu terang dan cantik.

Sambil menunggang motosikalnya, Eima menjadi asyik memandang sekeliling. Terasa pelik juga di hatinya tapi dipendamkan saja. Selepas kira-kira 1.5 kilometer, bahu Eima ditepuk wanita berkenaan.

“Berhenti kat sini, dah sampai rumah mak cik.”

Eima hentikan motosikalnya di hadapan sebuah pintu gerbang besar. Itulah rumah mak cik berkenaan. Sebuah banglo besar yang indah tersergam bagaikan istana. Belum pernah Eina lihat rumah secantik itu di kawasan tersebut.

“Terima kasihlah hantar mak cik balik. Marilah singgah rumah mak cik,” sambil bersalaman wanita itu mempelawa Eima ke rumahnya.

Tapi Eima menolak. Hari sudah lewat malam, dia perlu segera pulang tidur. Pukul 3 pagi nanti dia perlu bangun semula. Ada beberapa kilometer lagi untuk sampai ke rumahnya.

“Insya-Allah, mak cik. Nanti ada kelapangan saya singgah. Lagi pun saya dah tahu rumah mak cik ni. Tak jauh dari rumah saya,” balas Eima sebelum meminta diri.

Wanita berjubah dan bertudung itu tersenyum dan kemudian berjalan masuk ke halaman rumahnya manakala Eima memusingkan motosikal untuk pulang. Namun sebaik Eima membelakangkan rumah tersebut, dia terkejut apabila mendapati imej pada cermin sisi motosikalnya gelap sahaja, tidak memantulkan sebarang cahaya. Bererti di belakangnya juga gelap.

Pantas Eima menoleh mula ke belakang. Benarlah, rumah wanita berjubah yang tadinya terang benderang, kini gelap-gelita. Semua lampunya sudah ditutup. Malah bayang rumah sebesar istana itu pun tidak kelihatan lagi!

Waktu itu Eima rasa macam nak pitam, kerana sekelilingnya juga gelap dan sunyi. Semua rumah yang tadinya cantik, besar dan dilimpahi cahaya, kini tidak kelihatan lagi. Malah bayang rumah itu pun tiada. Yang Eima nampak hanyalah lorong kecil di hadapannya.

Kalau boleh Eima hendak memecut laju, namun jalan itu terlampau gelap. Dia perlu berhati-hati. Ketika itu segala makhluk-makhluk hodoh terbayang di fikiran. Eima rasakan makhluk-makhluk itu sedang mengejarnya. Sedang bertenggek di belakangnya dan bersedia untuk menghadang perjalanannya.

Eima rasa nak menangis. Apa saja ayat al-Quran yang diingati, semua dibacanya. Sambil itu dia berdoa semoga motosikalnya tidak rosak. Atau mati enjinnya. Kalau rosak, kalau mati enjinnya, memang nahaslah. Hanya dia seorang saja di dalam gelap gelita itu.

Syukurlah, akhirnya Eima sampai juga di jalan besar. Macam peluru dia memecut motosikal pulang ke rumah. Malam itu Eima tidak lena tidur. Fikirannya asyik terbayangkan wanita tersebut. Siapa dia?

Bagaimana boleh begitu cepat rumahnya dan rumah-rumah lain padamkan lampu. Seolah-olah mereka menutupnya serentak.

LORONG

Petang esoknya, selepas menutup kiosk pada pukul 3.30 untuk berehat, Eima menunggang motosikalnya pergi ke simpang berhampiran Hotel Rumbia. Itulah simpang yang dimasukinya semalam. Eima tidak ragu lagi kerana dia sudah arif sangat dengan kawasan tersebut. Hanya beberapa kilometer saja dari rumahnya.

Tapi Eima terkejut. Jalan yang dilaluinya itu bukanlah bertar seperti malam tadi. Sebaliknya jalan kecil yang digunakan oleh lori pasir berulang alik keluar dan masuk. Jalan itu sudah rosak, berlubang dan dipenuhi pasir serta batu.

Eima teruskan perjalanan. Yang terlihat di sekelilingnya hanyalah kawasan yang ditumbuhi semak-samun. Eima tetap juga menyusuri lorong kecil itu hinggalah dia jumpa sebiji botol minuman ringan jenama terkenal di tepi jalan. Sah, memang itulah botol minuman yang Eima buang malam tadi.

Memang sengaja Eima buangkan di situ untuk memudahkan dia mengenal kawasan rumah mak cik yang menumpang motosikalnya. Namun apa yang ada di depan mata Eima cukup aneh. Tiada sebuah rumah pun di situ. Yang ada hanyalah semak samun dan pokok-pokok hutan.

Macam kilat Eima tunggang motosikalnya meninggalkan tempat itu. Ketika, barulah Eima sedar kenapa malam tadi semasa memboncengkan wanita berkenaan, motosikalnya berasa cukup ringan seperti tidak memboncengkan sesiapa.

Sepanjang perjalanan juga hidungnya terbau aroma yang cukup harum.

Kemudian, semasa menyambut salam wanita itu, Eima berasa tangan mak cik tersebut begitu sejuk. Sejuk bagaikan mayat. Harum dan sejuk, begitu aneh sekali.

Akibat kejadian itu Eima demam selama beberapa hari. Itulah cerita yang Eima sampaikan kepada saya, apabila saya pulang seminggu kemudian. (Achu J., Paka, Terengganu)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini