MELAKA 4 Mei – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya gagal dikawal ketika mengundur lalu merempuh tembok batu sebuah rumah di Taman Peringgit Jaya di sini tengah hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, Khor Oai Kheng, 78, meninggal dunia selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya melanggar tembok batu sebuah rumah ketika mangsa ingin mengundur kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mengundurkan keretanya selepas menghantar cucunya di sebuah pusat tuisyen di sini.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal pedal minyak lalu merempuh tembok batu sebuah rumah. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya ketika dihubungi di sini petang ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai menghidap masalah kesihatan ketika memandu kereta tersebut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, penghuni rumah yang dirempuh mangsa memberitahu, kejadian itu berlaku terlalu pantas ketika dia yang hanya ingin dikenali sebagai Gadafi, 34, berehat di ruang tamu rumah.
“Saya nampak Perodua Myvi itu mengundur laju sebelum melanggar tembok batu dan pagar batu rumah,” katanya.
Dia kemudian bergegas keluar mendapati pemandu sudah tidak sedarkan diri sebelum seorang daripada jiran menelefon ambulans. – UTUSAN ONLINE











