KUALA LUMPUR 4 Mei – Seorang kontraktor syarikat balak yang dilapor hilang pada Selasa lalu ditemukan dalam keadaan tergantung pada akar kayu dipercayai menggantung diri di Ulu Sungai Melatai, kira-kira 176 kilometer dari pekan Kapit, Sarawak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintenden Freddy Bian berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Kenek Antok, 46, berbangsa Kenyah dan berasal dari Long Dingam, Belaga, ditemukan dalam keadaan tergantung di tebing curam oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 4.20 petang.
“Mangsa dipercayai menggantung diri dengan menggunakan akar kayu yang diikat pada lehernya dan diikat pada sebatang pokok di tebing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya Freddy, lokasi mayat mangsa dijumpai hanya 50 meter dari lokasi beg milik mangsa dan kesan darah dijumpai pada Rabu.
“Mayat si mati telah dibawa keluar dan sampai di Hospital Kapit kira-kira pukul 8 pagi semalam,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan awal dan pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada kesan-kesan pergelutan atau luka. – UTUSAN ONLINE











