KUALA LUMPUR 4 Mei – Seorang suri rumah kerugian RM10,000 selepas terpedaya dengan penipuan Macau Scam di Sibu, Sarawak.
Menurut portal Utusan Borneo, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo berkata, mangsa yang berusia 40 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Pegawai kastam’.
“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atas nama sebuah syarikat yang kononnya didaftar atas nama mangsa.
“Mangsa kemudian telah disambungkan kepada Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu dan bercakap dengan seorang polis berpangkat Sarjan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Martin Koo, mangsa diberitahu bahawa dia terlibat dengan aktiviti penggelapan wang haram dan suspek menawarkan pertolongan dengan syarat mangsa mesti mengeluarkan semua wang simpanan miliknya untuk membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut.
Jelasnya, mangsa pada Khamis lalu telah memasukkan duit berjumlah RM10,000 ke dalam satu akaun bank sebelum tersedar telah dijerat perangkap Macau Scam. – UTUSAN ONLINE











