Kejutan balik kampung jadi tragedi memilukan ibu - Utusan Malaysia

Kejutan balik kampung jadi tragedi memilukan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 4 Mei – Kejutan kepulangan anak dan cucu ke kampung hari ini bertukar menjadi khabar duka buat Sapinah Hussain apabila dia dimaklumkan mereka maut dalam nahas yang meragut lima nyawa di Raub, Pahang pagi ini.

Sapinah 67, ibu kepada Hasliza Arini Muhamad, 34, salah seorang mangsa yang maut memberitahu, dia mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 11.30 pagi.

Lebih memilukan warga emas itu, cucunya Muhammad Khalish Kautsar Mohd. Syaril, 2, juga dilaporkan terkorban dalam kejadian itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya langsung tak tahu Hazliza Arini bersama keluarganya mahu pulang ke kampung hari ni. Saya ada bercakap dengan dia kelmarin tapi dia tak beritahu pun mahu pulang.

“Tiba-tiba pagi ini saya dimaklumkan seorang lagi, Hazwani bahawa mereka terbabit dalam kemalangan yang tular di media sosial,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Kelaboran, di sini hari ini.

Sapinah berkata, dia sebak apabila mengetahui khabar malang itu selain dimaklumkan dua lagi cucu, Khaliesah Khairina ,7 dan Dhia Afriena, 4, serta menantu, Mohd. Syaril Sulaiman 44, cedera parah.

Katanya, lebih menyedihkan Hazliza Arini yang merupakan anak kelima dari sembilan beradik itu sebenarnya sedang mengandung lima bulan.

“Hazliza Arini yang bekerja sebagai akauntan di Klang, Selangor nak buat kejutan balik kampung tanpa beritahu saya, tapi kejutan lain pula berlaku.

“Saya sendiri sebenarnya berasa pelik kerana sejak tiga hari lalu tidak sedap hati selain mata sebelah kiri sentiasa berkerdip-kerdip,” katanya.

Katanya, anak dan cucunya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kelaboran, di sini malam ini selepas selesai bedah siasat.

Dalam kejadian 2.45 pagi ini, lima terbunuh manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Ruan, Raub, Pahang.

Tiga mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Nasrul Fakhri Mansor, 38; Hasliza Arini Muhamad, 34, dan Muhammad Khalish Kautsar Mohd. Syaril, 2 manakala identiti dua lagi mangsa belum dikenal pasti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini