Dagangan pada Mac susut - Utusan Malaysia

Dagangan pada Mac susut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mei – Aktiviti perdagangan Malaysia pada Mac 2019 merekodkan penurunan 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya kepada RM153.73 bilion berikutan dagangan lebih rendah dengan Jepun, ASEAN, India, Hong Kong, Kesatuan Eropah, Korea Selatan dan Turki.

Ia menyaksikan jumlah eks­port Malaysia pada Mac jatuh 0.5 peratus tahun ke tahun kepada RM84.05 bilion manakala import juga menguncup 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM69.68 bilion.

Lebihan dagangan pula kekal pada RM14.37 bilion, iaitu 2.2 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya dan merupakan bulan ke-257 berturut-turut merekodkan lebihan dagangan sejak November 1997, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, jumlah dagangan dari bulan ke bulan, melonjak 25.9 peratus dengan eksport berkembang 26.2 peratus, pertumbuhan tertinggi direkodkan sejak April 2010.

Import dan lebihan dagangan pula berkembang 25.4 peratus dan 30 peratus masing-masing. Sektor pembuatan, yang kekal sebagai eksport terbesar Malaysia, merupakan satu-satunya sektor yang mencatat pertumbuhan dengan berkembang 1.5 peratus tahun ke tahun kepada RM70.81 ­bilion manakala sektor pertanian dan perlombo­ngan me­ngalami penguncupan berasaskan tahun ke tahun.

Pada suku pertama 2019, jumlah dagangan direkodkan bernilai RM435.16 bilion, menyusut 1.5 peratus berban­ding RM441.89 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Eksport juga menyusut 0.7 peratus kepada 236.05 bilion manakala import menguncup 2.5 peratus kepada RM199.11 bilion. Lebihan dagangan me­ningkat 10.7 peratus kepada RM36.94 bilion.

Berbanding suku keempat 2018, jumlah dagangan, eksport dan import masing-masing menguncup 12 peratus, 10.8 ­peratus dan 13.4 peratus manakala lebihan dagangan berkembang 6.1 peratus.

Teras Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Nikkei Malaysia yang dikeluarkan semalam mencatat peningkatan ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada April, iaitu tertinggi sejak September 2018 didorong pengembangan tempahan ­ek­s­port.

Nikkei berkata, aliran me­ningkat pada April merupakan yang tertinggi sejak September 2018, mencatatkan 49.4 mata berbanding 47.2 mata pada Mac untuk kembali ke purata jangka panjangnya.

Bagaimanapun, menurut Kenanga Research, PMI masih berada di bawah penanda aras 50 mata, disokong oleh pemulihan dalam permintaan luaran.

“Jadi, kami mengekalkan pendirian dengan sikap optimis dan berhati-hati mengenai prestasi dagangan, bergantung kepada hasil yang belum pasti kepada rundingan perdagangan AS-China yang telah lama dilanjutkan serta kadar sederhana ekonomi di pasaran eksport utama.

“Untuk sepanjang tahun, beserta jangkaan permintaan domestik yang perlahan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar diunjur lebih sederhana pada 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2018,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Sementara itu, MIDF ­Research mengunjurkan ­eks­port akan tumbuh sederhana tahun ini sekitar 3.6 peratus berbanding 6.7 peratus pada 2018 sejajar dengan harga komoditi global dan jangkaan prestasi keseluruhan perniagaan yang lembap disebabkan ketidaktentuan konflik dagangan.

“Kami melihat prospek pertumbuhan eksport lebih baik pada suku kedua 2019 setelah suku pertama menurun 0.9 ­peratus tahun ke tahun.

“Ini didorong beberapa perkara penting tahun ini, antaranya perjanjian dagangan antara AS dan China, prestasi ekonomi lebih stabil melibatkan dua negara ekonomi terbesar, pembelian minyak sawit dan juga projek Laluan Rel Pantai Timur akan menyokong ­prestasi eksport Malaysia,” jelasnya.

Prestasi dagangan Malaysia pada Mac 2019Tahun ke tahun

-Jumlah dagangan susut 0.3% kepada RM153.73 bilion

-Eksport susut 0.5% kepada RM84.05 bilion

-Import susut 0.1 % kepada RM69.68 bilion

-Lebihan dagangan RM14.37 bilion, 2.2% lebih rendahBulan ke bulan

-Jumlah dagangan berkembang 25.9%

-Eksport berkembang 26.2%

-Import berkembang 25.4%

-Lebihan dagangan berkembang 30%Suku pertama 2019

-Jumlah dagangan susut 1.5% kepada RM435.16 bilion

-Eksport susut 0.7% kepada RM236.05 bilion

-Import susut 2.5% kepada RM199.11 bilion

-Lebihan dagangan meningkat 10.7% kepada RM36.94 bilion (SUMBER : KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI)habiss//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini