SASARAN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tercapai apabila Malaysia berjaya muncul dua pasukan terbaik dan akan beraksi di perlawanan akhir Final Siri Hoki Dunia malam ini.
Kejayaan itu hadir selepas skuad hoki negara merakam kemenangan 3-1 ke atas Austria pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia, bermula garang dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi ledakan cantik Faizal Saari menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ke-10.
Usaha skuad bimbingan Roelant Oltmans itu untuk mendapatkan gol kedua tidak berhasil sebaliknya, Austria yang berada di kedudukan No. 19 dunia berjaya meledak gol penyamaan menerusi Leon Thornblom pada minit ke-32.
Malaysia kembali bernafas selepas mendapat gol kedua menerusi Muhamad Marhan Mohd. Jalil pada minit ke-55.
Gol cantik daripada Meor Muhamad Azuan Hasan ketika aksi berbaki dua minit lagi untuk tamat mengesahkan kemenangan 3-1 buat skuad negara ke atas Austria.
Lawan Malaysia di pentas final malam ini ialah ranking ke-10 dunia, Kanada selepas berjaya melepasi halangan pasukan No. 32 dunia, Itali 3-1 di separuh akhir semalam.
Gelaran sudah ‘sebelah tangan’ dalam genggaman Malaysia kerana berdasarkan rekod pertemuan dengan Kanada, skuad negara sudah meraih 12 kemenangan, dua seri dan empat kalah daripada 12 perlawanan sejak kali pertama pada Sukan Olimpik 1964.
Kejayaan ke final membolehkan Malaysia meraih salah satu daripada dua slot yang ditawarkan pada kejohanan ini untuk beraksi pada pusingan kelayakan akhir ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.











