KUALA LUMPUR 4 Mei – Malang menimpa dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi di Litar Jerez semalam apabila terbabit dalam kemalangan pada sesi latihan bebas Grand Prix Motosikal Sepanyol.
Beraksi dalam perlumbaan MotoGP, Hafizh Syahrin yang bakal menyambut ulang tahun ke-25 esok terlibat dalam kemalangan ketika beraksi pada sesi kedua.
“Hafizh Syahrin bergelut dengan masalah kesihatan sebelum memulakan saingan tetapi masih mampu memperbaiki catatannya kepada 0.199 saat dari latihan bebas (FP) 1 ke FP2.
“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya kerana terpaksa memendekkan sesi kedua akibat kemalangan di pusingan ketiga.
“Bernasib baik dia tidak mengalami kecederaan kepala dan boleh menunggang lagi pada latihan bebas ketiga esok,” kata pasukan Red Bull KTM Tech 3 dalam satu kenyataan.
Nasib Khairul Idham, 21, bagaimanapun lebih malang apabila disahkan terlepas Grand Prix Sepanyol ekoran kecederaan jari yang dialami.
Menurut pasukan Petronas Sprinta Racing, pelumba kelahiran Perak itu kemalangan ketika melalui Selekoh 5 pada sesi latihan bebas pertama saingan Moto2.
Khairul digegaskan ke Pusat Perubatan di litar sebelum disahkan tidak cergas untuk berlumba kerana jari kelingking tangan kanannya retak.
Dia kemudian dipindahkan ke Hospital Virgen del Rocio di Seville bagi menjalani rawatan lanjut, sebelum diterbangkan ke Barcelona dan dijadual menjalani pembedahan awal pagi ini ( petang di Malaysia).
“Nasib Khairul Idham Pawi amat malang hari ini. Dia memulakan saingan dengan baik selepas beberapa pusingan tetapi cabarannya berakhir lebih awal dan dia terlepas perlumbaan hujung minggu.
“Dia kelihatan amat bagus di atas trek dan bersedia untuk pusingan keenam ketika terlibat dalam kemalangan.
“Jari tangan kanannya cedera teruk dan dia perlu mendapatkan rawatan di hospital di Seville. Esok (hari ini) dia akan menjalani pembedahan di Barcelona, kami akan maklumkan perkembangannya.
“Saya bersimpati dengan apa yang menimpa dia dan pasukan tetapi kami sentiasa berada di belakangnya dan mendoakan dia cepat sembuh,” kata Pengarah Pasukan, Johan Stigefelt. – UTUSAN ONLINE











