KUALA LUMPUR 3 Mei – Biarpun menunjukkan peningkatan pada pertengahan musim, Selangor tetap membawa masuk pemain import baharu pada pasaran perpindahan Mei.
Pengendali Red Giants, Red Giants, B. Sathinathan mengesahkan pemain itu akan tiba dalam masa terdekat, sekali gus menimbulkan tanda tanya siapa pula bakal digugurkan.
Ketika ini, Red Giants sudah memenuhi lima kuota import diketuai Rufino Segovia, Endrick dos Santos, Taylor Regan, Sandro da Silva dan Michal Nguyen.
Itu bermakna, salah seorang import sedia ada perlu digugurkan bagi memberi laluan kepada orang baharu.
Nama pemain tengah dari Brazil, Santos serta pertahanan kacukan Vietnam-Republik Czech, Nguyen disebut-sebut bakal digugurkan.
“Apa yang boleh saya beritahu, kami akan membawa masuk seorang pemain dari Afrika yang kini beraksi dalam liga di Asia. Semuanya dalam proses dan sedang diuruskan oleh pihak pengurusan.
“Pemain itu boleh beraksi di pelbagai posisi, sama ada serangan atau tengah. Dia diperlukan untuk membantu pasukan,” kata Sathianathan kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun Sathianathan enggan mengulas ketika ditanya siapa akan digugurkan bagi memberi laluan kepada pemain tersebut.
Kecederaan panjang yang dialami dua tonggak import iaitu Segovia dan Santos nyata menjejaskan perancangan Red Giants.
Sementara itu, menjelang pertemuan menentang Melaka United di Stadium Shah Alam esok, Sathianathan mengakui, dia perlu mencatur strategi terbaik memandangkan Selangor bakal beraksi tanpa tiga tonggak.
“Amri (Yahyah), Nurridzuan (Abu Hassan) dan Azreen (Zulkafali) tidak boleh beraksi esok kerana digantung perlawanan manakala pertahanan kiri, K. Prabakaran mengalami kecederaan hamstring,” kata Sathianathan.











