'Senjata' tempatan buat Mehmet tersenyum - Utusan Malaysia

‘Senjata’ tempatan buat Mehmet tersenyum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Mei – Biarpun Perak mencatat keputusan seri kali kelapan dalam 12 perlawanan musim ini, namun pengendali Bos Gaurus, Mehmet Durakovic mempunyai sebab untuk tersenyum.

Pertama, pasukannya masih dianggap bernasib baik dapat berkongsi satu mata dengan PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi selepas berada di ambang kekalahan sebelum mengikat kedudukan 3-3.

Jaringan pemain pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim 10 minit sebelum tamat permainan memastikan Bos Gaurus tidak pulang dengan tangan kosong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitupun apa yang lebih menggembirakan Mehmet adalah melihat ketiga-gol pasukannya disempurnakan oleh pemain tempatan – Brendan Gan dan J. Partiban.

“Ia perlawanan yang amat menghiburkan dan menarik, kedua-dua pasukan meledak tiga gol malam ini.

“Mungkin kami patut dapat lebih banyak gol tetapi mengutip satu mata di sini bukan keputusan yang buruk kerana kami menentang sebuah pasukan yang sangat baik.

“Saya amat gembira, terutama kita meletakkan dua penyerang tempatan dan ini sesuatu yang bagus untuk bola sepak negara ini.  Mereka berhak mendapat peluang,” kata Mehmet.

Dalam perlawanan itu, Kpah Sherman terlebih dulu meletakkan tuan rumah di depan seawal minit keempat, namun Brendan menyamakan kedudukan pada minit ke-11.

PKNS sekali lagi berada di depan pada minit ke-42 tetapi Perak menunjukkan tindak balas segera dengan menyamakan kedudukan menerusi Partiban, empat minit selepas babak kedua bersambung.

Perlawanan semakin menarik apabila Sherman meledak gol peribadi keduanya pada minit ke-52 tetapi hajat tuan rumah untuk mengutip tiga mata dikecewakan oleh jaringan lewat minit Nazirul Naim.

Keciciran mata di hujung permainan nyata tidak menggembirakan pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal.

“Kalau lihat keseluruhan permainan, saya tidak berpuas hati terutama kita bekerja keras untuk mendapatkan tiga gol dan selepas itu kami dibolosi dengan gol-gol yang senang.

“Kami leka, kami tidak memberikan fokus yang patut kerana tiga kali mendahului Perak. Walaupun saya tahu Perak  sebuah pasukan yang bagus, namun terdapat perbezaan intensiti.

“ Setiap kali kami membuat serangan balas, kami nampak bahaya, namun gagal menjaringkan gol,” katanya.

Keputusan tersebut menyaksikan PKNS menduduki tangga kelima, manakala Perak di tempat kelapan liga.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini