LOS ANGELES 3 Mei – Pelakon Peter Mayhew yang membawa watak Chewbacca dalam Star Wars meninggal dunia pada usia 74 tahun, Selasa lalu.
Mail Online melaporkan, mendiang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Texas Utara di samping ahli keluarga.
Perkara itu diumumkan oleh salah seorang ahli keluarganya di Twitter rasmi mendiang semalam. Punca kematian tidak dinyatakan dalam kenyataan itu.
Mayhew bekerja sebagai atendan hospital di London sebelum ditawarkan berlakon dalam filem Sinbad and the Eyes of the Tiger.
Pelakon yang mempunyai ketinggian luar biasa iaitu 220 sentimeter itu dilahirkan di Richmond-on-Thames, London, pada 1944.
Pelakon Mark Hamill yang membawa watak Luke Skywalker dalam Star Wars, menyifatkan Mayhew sebagai lelaki yang berhati mulia dan amat berbangga kerana dapat mengenali mendiang dengan rapat.
“Seorang lelaki berhati mulia yang tidak pernah gagal untuk membuatkan saya senyum dan merupakan seorang rakan setia yang saya sayangi,” katanya dalam Twitter.
Sementara itu, seorang lagi aktor veteran, Harrison Ford pula memberitahu, Mayhew mempunyai sifat yang terpuji.
“Sifat keperibadian beliau ditambah kebolehan semula jadi menjayakan watak sebagai Chewbacca dalam Star Wars. Watak itu adalah penyumbang utama kejayaan filem tersebut.
“Kami berkawan rapat lebih 30 tahun dan saya benar-benar menyayanginya,” katanya.











